PDRM tambah CCTV di lokap polis seluruh negara

Rosli Ab Rahman - Foto Bernama
Rosli Ab Rahman - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis merancang menambah jumlah kamera litar tertutup (CCTV) di 684 lokasi lokap polis pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, rancangan itu melalui insiatif Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) dengan peruntukan RM30 juta untuk penambahan CCTV di lokasi tersebut.

"Setakat ini, kita telah melaksanakan pemasangan CCTV di 28 lokasi lokap polis di seluruh negara dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM6.3 juta setahun," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Rosli berkata, selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku Jawatankuasa Keselamatan dan Trafik telah diminta untuk mengkaji keperluan CCTV keselamatan di sekitar KLCC dan Bukit Bintang sempena persidangan Negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

"Kita telah mencadangkan perolehan CCTV dan sistem pelbagai fungsi termasuk 'facial recognition' dan 'automatic number plate recognition' untuk meningkatkan keselamatan sempena persidangan APEC," katanya.

Dalam perkembangan berasingan Rosli berkata, pihaknya akan menaiktaraf 'command, control, communication and computer integration system' (C4i).

"Melalui sistem ini, keselamatan awam dapat dipantau melalui integrasi dengan CCTV pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan pusat kawalan.

"Sistem ini dilengkapi dengan teknologi Artificial Intelligence bagi meningkatkan kecekapan PDRM dalam menangani sesuatu insiden," katanya.

Artikel Berkaitan: