Tidak semua pemain muda persis Zainal Abidin

Zainal Abidin
Zainal Abidin
A
A
A

BUKAN semua pemain muda mampu menyamai kemampuan Zainal Abidin Hassan yang mula menyarung jersi Selangor dan skuad kebangsaan ketika berusia 17 tahun.

Ketua Jurulatih Selangor, B Sathianathan berkata, pengendali berusia 62 tahun itu berpendapat hanya segelintir pemain muda berupaya menyesuaikan diri dan menyerap tekanan beraksi di peringkat tertinggi seperti dilakukan Zainal Abidin yang menempa nama seawal usia 17 tahun bersama Selangor serta skuad kebangsaan.

Namun, bekas pemain kebangsaan itu berharap keputusannya menyerap tiga pemain skuad Selangor 2 ke dalam skuad utama Gergasi Merah untuk beraksi dalam baki saingan Liga Super musim ini, memberikan impak positif terhadap perkembangan pemain muda dan pasukan Selangor.

"Kalau saya tak bagi peluang dengan Selangor, proses untuk pemain muda matang jadi agak lama dan apabila saya serap belum tentu saya akan gunakan. Mereka kena buktikan, saya tahu mereka berbakat tapi tak semua pemain 17 tahun boleh menyerlah macam Zainal Abidin," katanya.

"Mereka (pemain muda) beraksi di Liga Premier membantu Selangor 2...Michael (Feichtenbeiner) dan saya sering bekerjasama dan beliau (Michael) sebagai pengendali Selangor 2 tahu pemain mana boleh dinaikkan ke skuad utama. Jadi proses ini dapat bantu pemain untuk lebih menyerlah," jelas Sathianathan.

Zainal Abidin, legenda bola sepak Selangor dan Pahang meraih penampilan antarabangsa sulungnya seawal usia 17 tahun ketika mewakili Malaysia pada Pestabola Merdeka 1980 sebelum mengorak langkah sehingga menjadi antara pemain yang memiliki reputasi cemerlang.

Tiga pemain Selangor 2 yang diserapkan itu adalah Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi (19), Harith Haiqal Adam Afkar (18) dan Muhammad Azrin Afiq Rusmini (18).

Sathianathan optimis kehadiran tiga pemain berkenaan yang juga tonggak utama skuad Bawah 18 Tahun (B-18) negara dapat memberi lebih pilihan dalam menyediakan kesebelasan terbaik setiap kali perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dalam mengharungi baki tujuh perlawanan Liga Super yang singkat itu, mungkin akan ada pemain yang cedera, namun dengan penambahan tiga pemain muda itu, penggiliran pemain dapat dilakukan dengan sebaiknya.

Selangor berada di tangga kelima Liga Super, ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas bergelut pada permulaan musim apabila sekadar mencatat satu kemenangan, dua seri dan satu kekalahan dalam empat aksi pertama.