X

Kindly register in order to view this article
!

Gambardella dilantik CEO ABM

Robert Gambardella
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) melantik bekas Ketua Institut Sukan Singapura, Robert Gambardella sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, Gambardella yang berasal dari Amerika Syarikat akan memulakan tugasnya pada 1 Ogos, tertakluk kelulusan daripada Jabatan Imigresen.

“Beliau mempunyai pengalaman yang mendalam mengenai industri sukan. Beliau mempunyai pengalaman luas sebagai Ketua Institut Sukan Singapura selama tujuh tahun. Robert adalah calon paling sesuai dalam bidang ini.

“Dengan ciri kepimpinan yang baik dan minat yang tinggi terhadap sukan badminton, kami percaya beliau adalah individu yang tepat untuk mengetuai ABM serta menjadikannya sebagai pusat kecemerlangan badminton yang menguntungkan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan BAM di sini hari ini.

Mohamad Norza berkata, Gambardella ditugaskan untuk menguruskan mini unit sains sukan di ABM, yang dijangka bermula pertengahan Ogos depan bagi kemudahan skuad senior dan remaja.

Beliau berharap dengan kehadiran pentadbir sukan berpengalaman berusia 62 tahun itu, matlamat utama ABM untuk memperkukuhkan aspek teknikal kemudahan latihan bertaraf dunia dengan teknologi sukan dapat direalisasikan.

Pemilihan Gambardella berdasarkan pengalaman dan pengetahuan luas dalam pengurusan sukan, diplomasi antarabangsa dan pembangunan sukan berprestasi tinggi.

Jaguh renang Singapura, Joseph Schooling adalah produk paling berjaya dilahirkan ketika Gambardella menjawat jawatan selaku Ketua Institut Sukan Singapura pada 2009 hingga 2016, menyaksikan Singapura meraih pingat emas pertama Sukan Olimpik pada 2016.

“Beliau dipilih dalam kalangan beberapa calon lain. Beliau sedia datang ke sini dan memberi yang terbaik demi memastikan ABM diangkat ke tahap lebih tinggi.

“ABM perlu diuruskan secara profesional dan melonjak produk (pemain) ke tahap yang lebih baik seperti yang mereka kehendaki,” katanya.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!