Polis tembak tayar kereta pengedar dadah

Rakaman pegawai polis melepaskan dua das tembakan tular di laman sosial.
Rakaman pegawai polis melepaskan dua das tembakan tular di laman sosial.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai polis bertindak melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta dipandu seorang lelaki disyaki pengedar dadah dalam kejadian di Kepong, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, tindakan itu dilakukan bagi mempertahankan diri selepas suspek bertindak agresif mahu melarikan diri dengan memandu kereta secara melulu.

Menurutnya, dalam kejadian pada jam 6.30 petang itu, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Kuala Lumpur mengekori sebuah kereta jenis Toyota Yaris dari Taman Tun Dr Ismail ke arah Jinjang.

Beliau berkata, polis telah membuat halangan dengan menggunakan dua buah kenderaan pasukan di hadapan serta belakang kenderaan suspek.

"Seorang pegawai polis telah meluru ke kenderaan suspek dengan menjerit ‘polis’ serta menunjukkan kad kuasa polis.

"Namun suspek enggan memberikan kerjasama dan bertindak agresif serta cuba melarikan diri dengan memandu kenderaan secara melulu ke arah pegawai polis tersebut.

"Polis kemudiannya melepaskan dua das tembakan ke arah tayar belakang kenderaan suspek demi mempertahankan diri serta mahu memberhentikan kenderaan tersebut supaya tidak membahayakan orang awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, polis kini giat mengesan suspek yang berjaya melepaskan diri.

Artikel Berkaitan:

"Hasil siasatan awal mendapati nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan oleh suspek didaftarkan atas nama sebuah syarikat sewaan kereta," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana–mana Balai Polis berdekatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.