Baitulmal MAIWP permudahkanlah bantuan zakat, kata Zulkifli

Zulkifli (tiga dari kanan) bersama wakil syarikat korporat semasa majlis penyerahan Zakat Korporat dan Sijil Zakat di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Zulkifli (tiga dari kanan) bersama wakil syarikat korporat semasa majlis penyerahan Zakat Korporat dan Sijil Zakat di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mahu Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mempermudah urusan pemberian bantuan zakat kepada yang memerlukan terutama yang terkesan oleh wabak Covid-19.

Katanya, walaupun setiap permohonan masih perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan, ada kes yang perlu disegerakan.

Beliau memberi contoh pertemuannya dengan seorang pemandu lori tanah di Terengganu yang mengalami kesempitan hidup bersama anak dan isteri selepas kehilangan pekerjaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya panggil sahabat saya dan kami beri RM700, menangis dia. Itu saya hendak gambarkan, kadang-kadang kita terpaksa beri (bantuan) begitu sahaja.

"Sebab itu banyak arahan saya kepada Baitulmal lulus sahaja (permohonan). Kalau kita hendak berkira ikut ini (prosedur), payahlah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wakil media selepas menghadiri majlis penyerahan zakat oleh beberapa badan korporat kepada Pusat Pungutan Zakat-MAIWP (PPZ-MAIWP), di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memberi contoh kaedah pengagihan bantuan melalui Tabung Musaadah Covid-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang tidak terkait dengan peraturan biasa serta mempunyai prosedur tersendiri bagi memudahkan penyampaian bantuan.

Pada majlis itu, Zulkifli menyaksikan penyerahan zakat korporat berjumlah RM12.99 juta daripada 11 syarikat antaranya Tenaga Nasional Berhad, UMW Holdings Berhad, Zurich General Takaful Malaysia, AIA Public Takaful Berhad, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd dan Must Read Sdn Bhd.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, institusi tersebut mengutip zakat berjumlah RM357 juta bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, peningkatan sembilan peratus berbanding tempoh sama tahun lepas yang merekodkan RM328.29 juta.

"Setakat ini belum ada penurunan dari segi pungutan zakat dalam suasana Covid-19. Kami berharap situasi ini berterusan sehingga hujung tahun supaya kita dapat membantu asnaf yang memerlukan melalui agihan yang dibuat Baitulmal MAIWP," katanya.

Ahmad Shukri berkata, walaupun Covid-19 belum memberi kesan kepada kutipan zakat, PPZ-MAIWP tetap menggiatkan usaha bagi mengekalkan pembayar zakat sedia ada dan menarik pembayar baharu untuk mencapai sasaran kutipan keseluruhan RM700 juta tahun ini berbanding RM683 juta pada 2019.

Katanya, PPZ-MAIWP turut melancarkan logo untuk pembayar zakat korporat sebagai kesinambungan daripada sijil zakat untuk menarik lebih banyak syarikat membayar zakat dengan bayaran minimum RM10,000.

"Selain dapat sijil, mereka juga ada logo bahawa syarikat ini membayar zakat dan mungkin masyarakat di luar sana akan teruja.

"Contohnya tempat dia makan atau barang dia beli membayar zakat, jadi dia juga akan mendapat bahagian daripada infaq zakat syarikat tersebut," katanya.- Bernama