Bayi tiga bulan maut dalam jagaan bapa

Dzulkhairi
Dzulkhairi
A
A
A

ISKANDAR PUTERI- Seorang bayi berusia tiga bulan meninggal dunia ketika dalam jagaan bapanya yang positif dadah petang semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, bayi tersebut dijaga oleh bapanya berusia 31 tahun ketika nenek dan ibunya keluar berniaga di sebuah warung makanan di Taman Nusa Perintis, Gelang Patah pada awal pagi.

Katanya, ketika ibu dan nenek mangsa pulang dari gerai kira- kira jam 5.15 petang, mereka dapati bayi berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Bayi itu kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Gelang Patah untuk menerima rawatan namun disahkan sudah meninggal dunia," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dzulkhairi berkata, siasatan awal mendapati, dua kanak-kanak lelaki berusia enam dan empat tahun yang juga anak lelaki terbabit turut tinggal di rumah itu.

"Pemeriksaan pada badan mangsa tidak menunjukkan sebarang kecederaan. Menurut ibu mangsa, bayinya itu sering muntah selepas minum susu," katanya.

Beliau berkata, bapa bayi itu sudah ditahan dan ujian air kencing ke atasnya didapati positif dadah.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan:

"Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk proses bedah siasat jam 9 pagi tadi," katanya.