Kepatuhan SOP penjarakan sosial makin kurang

Hanya segelintir yang memakai pelitup muka manakala selainnya seolah-olah selesa berada di tempat tumpuan ramai tanpa mematuhi SOP berkenaan.
Hanya segelintir yang memakai pelitup muka manakala selainnya seolah-olah selesa berada di tempat tumpuan ramai tanpa mematuhi SOP berkenaan.
A
A
A

KOTA BHARU - Kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semakin berkurangan apabila orang awam mula tidak menghiraukan penjarakan sosial ketika berada di tempat tumpuan ramai.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar raya dan kedai makan mendapati orang awam tidak lagi mengambil tahu jarak selamat ketika makan atau membeli-belah.

Seorang pengunjung, Fatin Shafika Rosman, 23, mengakui melihat orang ramai yang bersiar-siar dan membeli-belah tidak lagi mematuhi penjarakan sosial seperti yang ditetapkan dalam SOP PKPP.

“Mereka beratur untuk masuk ke sesebuah kedai namun jarak ketika beratur bukan satu meter sedangkan perkara itu penting kerana kita tidak mengenali individu di sekeliling itu,” katanya.

Katanya, tahap pematuhan yang amat rendah itu dapat dilihat di kedai kecil atau warung di kampung.

“Mereka mungkin faham bahaya pandemik koronavirus (Covid-19) yang boleh membawa maut namun masih kurang kesedaran atau mungkin tidak membabitkan ahli keluarga terdekat menyebabkan mereka alpa.

“Kalau dulu ada ‘abah’ (Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang kerap memberi peringatan di televisyen dan sekarang sudah berkurang, maka rakyat pun mula ambil ringan,” katanya ketika ditemui di pusat membeli-belah di sini.

Artikel Berkaitan:

Pengimbas kod QR sentiasa ada di setiap kedai bagi mengisi data pelanggan, namun ramai yang mengambil mudah perkara itu.
Pengimbas kod QR sentiasa ada di setiap kedai bagi mengisi data pelanggan, namun ramai yang mengambil mudah perkara itu.

Seorang penuntut yang menjalani latihan industri di Shah Alam, Nurul ‘Aliyana Othman, 23, pula berkata, beliau dapat melihat perbezaan ketara antara masyarakat di Kelantan berbanding di Selangor dalam konteks penggunaan penutup mulut dan hidung.

“Sekiranya berkunjung ke pusat membeli-belah di Selangor, akan kelihatan janggal jika tidak menggunakan pelitup muka. Di sini tanpa penggunaan pelitup muka dirasakan biasa seperti tiada apa yang berlaku.

“Sebenarnya walaupun tidak diwajibkan memakai penutup mulut dan hidung tetapi seeloknya dipakai apabila berada di tempat tumpuan ramai kerana sukar untuk memastikan penjarakan sosial dijaga ketika berada dalam keadaan itu,” katanya.

Dalam pada itu, pemerhatian Sinar Harian mendapati masih lagi terdapat kesilapan bacaan pada alat pengimbas suhu badan ketika pemeriksaan di pintu-pintu masuk utama kedai dan pasar raya.

Bacaan suhu badan yang diperiksa menunjukkan bacaan 34 darjah celcius dan ada pekerja yang membenarkan pengunjung dengan bacaan suhu 37.5 darjah celcius ke atas memasuki pusat membeli-belah.

Dalam pada itu, seorang pekerja kedai makan, Azam Abdullah,30, berkata, pihaknya tetap meletakkan imbasan kod QR supaya pelanggan mendaftarkan nama mereka sebelum memasuki warung.

“Kerusi yang tidak boleh diduduki untuk memastikan penjarakan sosial juga ditandakan dengan ‘X’ namun masih terdapat pelanggan yang duduk di kerusi itu.

“Tidak boleh salahkan pelanggan juga kerana tempat makan seperti warung ini terhad. Jadi, kedua-dua pihak iaitu pelanggan dan peniaga perlu sama-sama beringat.

“Pihak berkuasa tempatan dan polis juga masih meneruskan pemantauan bagi memastikan kita menjaga antara satu sama lain,” katanya.

Keadaan orang ramai yang keluar membeli-belah di tempat tumpuan menyebabkan penjarakan sosial sukar untuk dijaga sekali gus meningkatkan risiko jangkitan penyakit.
Keadaan orang ramai yang keluar membeli-belah di tempat tumpuan menyebabkan penjarakan sosial sukar untuk dijaga sekali gus meningkatkan risiko jangkitan penyakit.

Sementara itu, berbeza dengan seorang bapa empat anak, Mohd Hafzi Mazlan, 33, yang setiap hari terdedah dengan cara pematuhan SOP ketat di institusi pendidikan seperti sekolah.

“Saya berkhidmat sebagai tukang kebun di sebuah sekolah dan setiap hari melihat pelajar dan guru mematuhi SOP seperti memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan sosial dan memakai cecair pembasmi kuman menjadikan saya biasa dengan cara itu dan sentiasa berjaga-jaga.

“Saya mempunyai empat anak berusia setahun sehingga 8 tahun dan belum lagi membawa mereka masuk ke pasar raya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu walaupun tahu perkara itu sudah dibenarkan,” katanya.