Misi serampang dua mata Brendan Gan

Aksi bertenaga Brendan Gan ketika perlawanan Selangor menentang Perak di Shah Alam pada awal Mac lalu. -Foto: FA SELANGOR
Aksi bertenaga Brendan Gan ketika perlawanan Selangor menentang Perak di Shah Alam pada awal Mac lalu. -Foto: FA SELANGOR
A
A
A
PEMAIN tengah Selangor, Brendan Gan melihat tarikh permulaan Liga Malaysia (Liga-M) pada 26 Ogos sebagai sesuatu yang boleh diterima dengan baik kepada pasukan di Liga-M selain membantu perancangan skuad Harimau Malaya.

Walaupun tarikh itu dipercepatkan berbanding perancangan asal Liga Bolasepak Malaysia (MFL) iaitu pada 1 September, Brendan berasakan situasi itu tidak terlalu mengganggu terutama kepada pasukannya, Selangor dalam melakukan persiapan.

Jelasnya, apa yang paling utama setelah mendapat tarikh sambungan liga, dia sudah meletakkan mentaliti untuk lebih bersedia dalam latihan selain kebenaran mengadakan perlawanan persahabatan bermula 2 Ogos dijangka mampu membantu majoriti pemain kembali serasi dengan taktikal diserapkan jurulatih.

“Tarikh 26 Ogos ini tidak banyak berbeza daripada 1 September, jadi saya rasa perbezaan selama lima hari ini boleh diterima serta tidak terlalu mengganggu apa yang sudah dirancang oleh pasukan.

“Sebenarnya dalam peringkat ini, saya dan pemain lain sudah kena tingkatkan kerja keras dalam latihan kerana tempoh yang tinggal hanya sebulan sahaja lagi.

“Kebenaran untuk bermain dalam aksi persahabatan juga bagi saya sesuatu yang baik bagi memastikan semua 25 pemain dalam pasukan mampu bersedia dan mendapatkan kecergasan yang diperlukan dalam perlawanan kompetitif.

“Mungkin satu atau dua perlawanan persahabatan sudah mencukupi sebelum hadapi aksi pertama liga kerana apa yang mustahak sebenarnya bagaimana kita boleh menangkap dengan segera taktikal yang dimahukan jurulatih pada sesi latihan,” katanya dalam kenyataan dipetik dari Facebook MFL hari ini.

Brendan juga mengutarakan pandangannya mengenai jadual liga yang lebih ketat sebagai bukan satu masalah besar kerana situasi itu tidak berbeza jika saingan Piala FA turut dimainkan pada saingan musim-musim sebelum ini.

“Bukan sesuatu yang menakutkan atau bimbang untuk bermain dua kali seminggu membabitkan aksi pada pertengahan minggu kerana situasi ini sebenarnya bukan asing kepada majoriti pemain.
Artikel Berkaitan:


“Sebelum ini, jika ada aksi Piala FA pada musim yang biasa, saya telah berdepan situasi sebegini apabila terpaksa menempuh jadual yang ketat dan saya sentiasa seorang positif menerima apa jua keadaan,” katanya.

MFL sebelum ini mengumumkan Liga-M 2020 kembali bersambung pada 26 Ogos depan selepas ditangguhkan sejak 16 Mac lalu disebabkan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, badan pentadbir liga tempatan itu percaya tarikh baharu saingan Liga Malaysia tersebut adalah yang terbaik buat kesemua pasukan selepas sesi latihan Fasa 2 telah dibenarkan oleh pihak kerajaan bermula 15 Julai lalu.

Pasukan-pasukan berstatus dari Liga Super dan Liga Premier dibenarkan mengadakan perlawanan persahabatan pada 2 Ogos sebaik tamat tempoh bertenang bermula 29 Julai dan tamat pada 1 Ogos.

Dalam masa sama, Brendan gembira kerana tarikh 26 Ogos ini membuka sedikit ruang kepada pasukan kebangsaan mengadakan latihan lebih awal sebelum berdepan Bahrain pada 2 Oktober.

“Saya gembira buat jurulatih, Tan Cheng Hoe, kerana pemain-pemain nanti mendapat ruang berlatih lebih lama bagi hadapi dua perlawanan yang begitu penting kepada skuad kebangsaan iaitu berdepan UAE dan Vietnam.

“Semua orang kini di belakang di pasukan negara dan mereka mahu skuad ini mara sejauh mungkin, jadi saya rasa situasi ini sebagai sesuatu yang baik kerana turut memahami akan kepentingan skuad kebangsaan,” katanya.