12 kes serangan obor-obor di Pantai Bukit Keluang

Seorang anggota APM Besut merawat kanak-kanak yang terkena gigitan obor-obor. Foto APM Besut
Seorang anggota APM Besut merawat kanak-kanak yang terkena gigitan obor-obor. Foto APM Besut
A
A
A

BESUT - Sebanyak 12 laporan serangan obor-obor jenis jellyfish direkodkan di Pantai Bukit Keluang sejak kawasan tersebut dibuka kepada kunjungan ramai dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Besut, Mohd Suhaimi Awang berkata, serangan terbaharu dilaporkan pada Sabtu lalu melibatkan kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun dan adik perempuannya berusia 4 tahun.

Menurutnya, dua beradik itu mengalami gatal-gatal dan merah pada anggota badan yang terkena obor-obor namun stabil selepas dirawat pasukan penyelamat pantai Pertahanan Awam Besut.

“Memang kebiasaannya jumlah kehadiran obor-obor akan bertambah sekitar bulan Mei hingga Ogos namun ia hanya obor-obor biasa, bukan jenis beracun seperti yang dikenali sebagai portuguese man o' war.

“Jika terkena, obor-obor ini hanya akan menimbulkan bintik kemerahan pada badan dengan rasa gatal tanpa masalah serius dan kami akan segera beri rawatan awal selepas mendapat laporan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Anggota badan terkena obor-obor akan menjadi merah dan gatal. - Foto APM Besut
Anggota badan terkena obor-obor akan menjadi merah dan gatal. - Foto APM Besut

Sehubungan itu, orang ramai yang berkunjung ke pantai Bukit Keluang tidak perlu bimbang dan takut kerana kawasan peranginan itu selamat untuk dikunjungi serta mandi-manda bersama keluarga.

Mohd Suhaimi berkata, seramai enam anggota pasukan penyelamat ditempatkan di pantai itu setiap hari biasa bagi memantau keselamatan pengunjung dan jumlahnya bertambah kepada 12 petugas pada hujung minggu dan cuti umum.

Artikel Berkaitan:

“Anggota kita akan sentiasa memantau keadaan pantai agar pengunjung selamat untuk mandi-manda. Amaran akan dikeluarkan kepada orang ramai jika kehadiran obor-obor dikesan luar biasa jumlahnya.

“Kita harap orang ramai tidak menyentuh obor-obor ini dan jika terkena gigitan, segera dapatkan bantuan daripada pasukan penyelamat pantai yang bertugas di sana untuk diberikan rawatan awal,” katanya.

Pasukan penyelamat pantai sedang memantau keselamatan pengunjung di Pantai Bukit Keluang. - Foto APM Besut
Pasukan penyelamat pantai sedang memantau keselamatan pengunjung di Pantai Bukit Keluang. - Foto APM Besut