Pekerja kilang maut, pemandu van parah

Van kilang dinaiki 11 mangsa remuk teruk di bahagian hadapan dipercayai melanggar sebuah lori yang tidak dapat dikenal pasti dalam nahas di Kampung Chenerai, Kuala Pegang pagi tadi. - Foto JBPM
Van kilang dinaiki 11 mangsa remuk teruk di bahagian hadapan dipercayai melanggar sebuah lori yang tidak dapat dikenal pasti dalam nahas di Kampung Chenerai, Kuala Pegang pagi tadi. - Foto JBPM
A
A
A

BALING - Seorang pekerja kilang maut sementara pemandu van tersepit dalam kemalangan membabitkan sebuah van kilang di Kampung Chenerai, Kuala Pegang, 5.25 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, mangsa maut dikenali sebagai Awatif Md Mahtar, 33, yang duduk di bahagian penumpang hadapan manakala Abdul Rahman Abdullah, 49, cedera parah akibat tersepit di tempat duduk pemandu.

Menurutnya, van terbabit turut membawa sembilan mangsa lain kesemuanya wanita berusia antara 21 hingga 33 tahun yang merupakan pekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang.

"Keadaan van remuk teruk di bahagian hadapan dipercayai melanggar sebuah kenderaan lain yang tidak dikenal pasti.

"Kemalangan mungkin membabitkan sebuah lori membawa muatan kayu balak berdasarkan kesan serpihan kulit kayu di cermin hadapan dan atas permukaan jalan," katanya.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas dalam nahas di Kampung Chenerai, Kuala Pegang pagi tadi. - Foto JBPM
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas dalam nahas di Kampung Chenerai, Kuala Pegang pagi tadi. - Foto JBPM

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, bomba mendapat panggilan pada jam 5.25 pagi dan sampai di lokasi kira-kira jam 5.39 pagi bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Baling.

Menurutnya, bomba berjaya mengeluarkan lima mangsa tersepit menggunakan peralatan khas.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa pertama yang tersepit di bahagian tempat duduk belakang berjaya dikeluarkan lebih kurang 10 minit diikuti mangsa kedua dikeluarkan lima minit kemudian manakala mangsa ketiga yang tersepit berjaya dikeluarkan lima minit selepas mangsa kedua.

"Bomba kemudian berjaya mengeluarkan mangsa keempat yang tersepit iaitu pemandu tujuh minit selepas mangsa ketiga dikeluarkan.

"Mangsa kelima dikeluarkan ialah penumpang hadapan yang mengambil masa enam minit kemudian, bagaimanapun, mangsa kelima disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan yang tiba di tempat kejadian," katanya.

Anggota bomba mengeluarkan lima mangsa yang tersepit dalam nahas di Kampung Chenerai, Kuala Pegang pagi tadi. - Foto JBPM
Anggota bomba mengeluarkan lima mangsa yang tersepit dalam nahas di Kampung Chenerai, Kuala Pegang pagi tadi. - Foto JBPM

Mangsa dibawa ke Hospital Baling menggunakan dua buah ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia, sebuah ambulans Angkatan Pertahanan Awam dan sebuah Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

Mangsa yang meninggal dunia telah dihantar ke Unit Forensik bagi proses bedah siasat.

Syed Basri berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.