X

Kindly register in order to view this article
!

NIISE bakal gantikan sistem MyIMMs: Hamzah

Hamzah Zainuddin melawat Pos Sempadan (Subtek) yang menghubungkan antara Malaysia dengan Indonesia di Telok Melano kira-kira 140 kilometer dari Bandaraya Kuching hari ini. -Foto Bernama
A
A

SEMATAN - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan mempertingkatkan sistemnya yang kini dalam proses membangunkan Sistem Integrasi Imigresen Nasional (NIISE), kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, sistem baharu itu akan mengatasi segala kelemahan yang terdapat pada sistem lama, Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang dijangka akan dilaksanakan sekurang-kurangnya tiga tahun dari sekarang.

“Kami telah memanggil beberapa syarikat besar untuk memasuki tender bagi mempertingkatkan sistem JIM. Ia satu sistem yang besar dan memerlukan sedikit masa untuk penghasilannya,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di Sub Taktikal Pasukan Gerakan Am Teluk Melano berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia di sini hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 3 yang dibentangkan di Parlimen minggu lalu mengesahkan terdapat 214,398 warga asing didapati tidak mempunyai rekod keluar dari Malaysia setakat 15 April lepas iaitu terdapat masalah teknikal pada sistem MyIMMs yang mencatatkan sebanyak 4,489 kes ‘system down’ bagi tempoh 2016 hingga 2018.

Sementara itu, beliau juga menafikan tuduhan bahawa terdapat kira-kira enam juta warga asing yang tiada dokumen berada di negara ini.

Hamzah berkata, penangkapan warga asing yang dilakukan penguat kuasa secara purata bagi tiap-tiap tahun adalah kira-kira 500,000 orang dan daripada jumlah itu yang benar-benar tiada dokumen adalah 20,000 orang.

“Ini menunjukkan tidak sampai 20 peratus warga asing yang tidak mempunyai dokumen berada di sini dan jika jumlah mereka yang ada dalam negara kira-kira dua juta, jadi saya yakin warga asing yang tiada dokumen yang masih berada di Malaysia adalah sekitar 500,000 sahaja.

“Tidak boleh kita buat tuduhan bahawa jumlah warga asing yang tiada dokumen berada dalam negara ini adalah satu angka yang besar seperti dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan sehingga enam juta orang,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!