X

Kindly register in order to view this article
!

14 individu ditahan ingkar arahan PKP

Ismail Sabri
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 14 individu ditahan semalam kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai tiga individu direman dan 11 individu lagi dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar PKP termasuk aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakkan sosial dan aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah membuat 62,386 pemeriksaan bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Selain itu katanya, seramai sembilan warga asing ditahan dalam Operasi Benteng yang diadakan oleh pihak berkuasa dalam usaha mengawal ketat sempadan negara daripada dibolosi pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Dalam operasi itu, 67 sekatan jalan raya telah diadakan dan 43,033 kenderaan diperiksa bagi menghalang kemasukan PATI terutamanya di lorong-lorong tikus.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, semalam seramai 707 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Klia2 dari China, Indonesia, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Singapura, Kemboja, Filipina, Hong Kong, Pakistan, Arab Saudi dan Jepun.

Menurutnya, daripada jumlah itu 706 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala seorang lagi dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Menyentuh tentang 96 rakyat Malaysia yang tiba dari India pagi tadi, Ismail Sabri berkata, kesemua mereka akan menjalani kuarantin wajib 14 hari di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Nilai, Negeri Sembilan.

“Pusat pemantauan ini akan diselia oleh petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga dikawal oleh PDRM. Oleh itu, pihak luar termasuk ahli keluarga tidak dibenarkan mengunjungi AKEPT,” katanya.

Sementara itu dalam pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP yang dijalankan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), 50 premis diberikan amaran kerana tidak mematuhi SOP. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!