Orang ramai dialu-alukan bantu program Korban4Gaza di Palestin

Sumbangan daging korban akan diagihkan kepada penduduk di Gaza yang memerlukan.
Sumbangan daging korban akan diagihkan kepada penduduk di Gaza yang memerlukan.
A
A
A

Q-BANGI - Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi membantu penduduk di Semenanjung Gaza, Palestin menerusi Program Korban4Gaza yang kini memasuki tahun ketujuh penganjurannya.

Ketua Pegawai Operasi (COO) CGM, Johan Muhammad berkata, walaupun program berkenaan yang mula digerakkan sejak 8 Jun lalu telah mencapai sasaran kutipan, namun pihaknya masih membuka penyertaan kepada orang ramai untuk bersama-sama menghulurkan bantuan kepada penduduk berkenaan.

Menurutnya, langkah itu dapat membolehkan lebih ramai penduduk di sana yang memerlukan mendapat bantuan daging korban, khususnya sewaktu menyambut perayaan Aidiladha pada akhir bulan ini.

“Alhamdulilllah, kita telah mencapai sasaran 135 bahagian menerusi sumbangan orang persendirian dan badan bukan kerajaan (NGO) yang turut bersama menyumbang melalui program ini.

“Kita masih membuka penyertaan kepada pihak luar sehingga 30 Julai ini bagi membolehkan CGM membantu lebih ramai penduduk di Gaza kali ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini kelmarin.

Lembu baka Belgium yang bersaiz lebih besar berbanding biasa akan digunakan bagi melaksanakan Program Korban4Gaza.
Lembu baka Belgium yang bersaiz lebih besar berbanding biasa akan digunakan bagi melaksanakan Program Korban4Gaza.

Difahamkan, antara NGO yang turut menyumbang menerusi program tersebut ialah Azhar Care, Iman Care, Sedekah Subuh, Pas Relief, Misi Sedekah Jumaat dan Serantau Muslim.

Mengulas lanjut, Johan berkata, pihaknya mengenakan bayaran sebanyak RM1,900 bagi satu bahagian, manakala untuk seekor lembu bayaran yang dikenakan adalah sekitar RM13,300.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun harga yang ditawarkan agak mahal berbanding biasa, namun lembu yang diambil bersaiz lebih besar dan terdiri daripada baka Belgium dengan berat minimum antara 550 hingga 650 kilogram seekor.

“Seekor lembu yang digunakan akan dapat memberi manfaat kepada kira-kira 1,500 hingga 2,000 orang dan menghasilkan sekitar 300 hingga 400 kilogram daging,” katanya.

Beliau berkata, selain ibadah korban, CGM turut membuka kutipan bagi bantuan am kepada penduduk di Gaza yang terjejas bagi mendapatkan barangan keperluan yang mendesak.

“Buat masa ini, bantuan am ini masih belum mencukupi dan kita juga mengalu-alukan orang awam untuk menyalurkan sumbangan mereka mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.

Kepada yang ingin menyumbang, anda boleh berbuat demikian menerusi akaun bank Persatuan Cinta Gaza Malaysia 564810507826 (Maybank) atau berkunjung ke laman web korban4gaza.