X

Kindly register in order to view this article
!

Edar dadah guna penghantar makanan

Pemeriksaan ketat polis ketika sekatan jalan raya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.
A
A

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi sekatan jalan raya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memerangi pandemik koronavirus (Covid-19) di negara ini sedikit sebanyak merencatkan aktiviti pengedaran dadah.

Disebabkan itu, sindiket pengedaran dadah beralih menggunakan khidmat penghantar makanan bagi memudahkan urusan penghantaran dadah kepada 'pelanggan-pelanggan'.

Ini terbukti apabila PDRM dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya membongkar antara taktik yang digunakan penjenayah iaitu menyembunyikan dadah di dalam peket minuman dan makanan sejuk beku.

Sindiket mungkin beranggapan taktik itu dapat mengaburi pihak berkuasa, namun sangkaan itu meleset apabila taktik berkenaan berjaya dihidu pihak berkuasa.

Mengambil kesempatan di kala masyarakat 'sukar bergerak', sindiket bertindak nekad menggunakan khidmat penghantar makanan bagi mengaburi pihak berkuasa untuk menghantar bekalan dadah dalam kuantiti yang sedikit kepada pembeli.

Asisten Komisioner R Sundralingam yang pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor menjelaskan, khidmat penghantar paling popular digunakan sindiket sepanjang tempoh PKP fasa pertama.

Sundralingam yang kini dilantik sebagai Penolong Pengarah Risikan Zon 1 Bukit Aman mengakui pengedar dadah turut menggunakan khidmat penghantar makanan dan bagi mengelak kegiatan mereka dikesan, perkara itu turut dirahsiakan daripada pengetahuan si penghantar.

"Dalam konteks ini, sejak PKP bermula 18 Mac sehingga 30 April, sebanyak sembilan kes dikesan membabitkan penghantar makanan di Selangor.

“Kalau kita lihat dari segi modus operandi suspek, dadah diletakkan di dalam makanan seperti roti dan roti canai. Sindiket mengambil kesempatan dan keuntungan berikutan pekerja penghantar makanan yang diberi kelonggaran untuk bergerak,” katanya kepada Sinar Harian.

Sundralingam berkata, perbuatan sindiket yang menyalahgunakan khidmat penghantar makanan juga adalah satu pelanggaran etika.

Katanya, berdasarkan apa yang dikesan, kes ini berlaku di kawasan bandar besar.

"Terdapat juga kes sindiket menghantar sendiri bekalan kerana menganggap tiada pemeriksaan ketat. Ini terbukti apabila suspek ini ditahan semasa rondaan Op Covid-19,” katanya.

Antara dadah yang ditemui dalam bungkusan makanan yang dihantar melalui khidmat penghantaran makanan.
Antara dadah yang ditemui dalam bungkusan makanan yang dihantar melalui khidmat penghantaran makanan.

Modus operandi baharu

Menurut Sundralingam, boleh dikatakan ketika PKP lalu ia adalah satu taktik baharu.

“Sebelum ini, sindiket mengedar dadah menggunakan parcel daripada syarikat kurier, namun ketika PKP, mereka mengubah dengan menjadikan penghantar makanan sebagai ‘penggerak’.

“Selain itu, ada juga kes di kontinjen lain di mana sindiket menggunakan khidmat trak penunda, namun di Selangor kita tetap berwaspada dengan taktik sedemikian. Malah ada juga maklumat modus operandi yang menggunakan keranda mayat.

“JSJN Selangor dengan kerjasama JSJN Bukit Aman akan terus perketat operasi dan pemeriksaan bagi mematahkan kegiatan tidak bermaruah ini,” katanya.

R Sundralingam
R Sundralingam

Tambahnya, sebagai usaha mengatasi kegiatan haram itu, pegawai dan anggota JSJN ditempatkan di setiap SJR untuk tindakan pantas mengesan kegiatan berkenaan.

Menurut Sundralingam, pihaknya tidak menolak kemungkinan modus operandi ini akan berubah, namun ia tidak terlalu ketara.

“Sindiket tidak ada pilihan lain untuk membuat penghantaran. Mungkin selepas melihat kejayaan polis menahan penghantar makanan, suspek akan berbalik kepada parcel. Apa yang dikesan di sini adalah suspek kebanyakannya adalah terdiri daripada individu.

“Ia berikutan jumlah rampasan yang sedikit dan kita percaya dadah itu untuk penggunaan sendiri.

“Antara jenis dadah yang dirampas membabitkan penghantar makanan ini adalah jenis syabu, heroin, ganja, eramin 5 dan eksasi,” katanya.

Kejayaan rampasan dadah jenis syabu seberat 5.2 kilogram serta pil ekstasi oleh polis Selangor.
Kejayaan rampasan dadah jenis syabu seberat 5.2 kilogram serta pil ekstasi oleh polis Selangor.

Tindakan ke atas penghantar makanan

Jelasnya, mereka (penghantar makanan) akan dijadikan sebagai saksi ketika perbicaraan di mahkamah.

Katanya, pihaknya mengingatkan sekiranya mengesyaki sesuatu bungkusan yang dibayar dengan harga yang tinggi agar segera melaporkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Sekiranya anda dikesan bersekongkol dengan pengedar ini, anda tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang. Diingatkan bahawa tiada pengecualian kepada mana-mana yang bersubahat dan JSJN tidak sama sekali berkompromi.

“Sekiranya tertangkap, tindakan seterusnya adalah memburu pengirim dan penerima dadah berkenaan,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pemeriksaan rapi dilakukan ke atas perkhidmatan penghantaran barang.
Pemeriksaan rapi dilakukan ke atas perkhidmatan penghantaran barang.

Statistik kejayaan JSJN Selangor sepanjang PKP

"Bagi tempoh 18 Mac sehingga 30 April, kita telah membuat rampasan dadah bernilai lebih RM6.77 juta membabitkan pelbagai jenis dadah seperti syabu, ganja, heroin, ekstasi dan eramin 5.

"Daripada jumlah itu, seramai 726 tangkapan telah dibuat membabitkan 507 kes," katanya.

Tambahnya, daripada jumlah pecahan itu, tangkapan bagi kategori memiliki adalah seramai 333 orang, bekalan (104 orang), urin (69 orang) dan seorang di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

Katanya, dalam kebanyakan kes dadah berkenaan disorok dalam bungkusan barangan lain termasuk bungkusan makanan dan kotak permainan kanak-kanak.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed menunjukkan peralatan dan dadah yang berjaya dirampas polis Selangor baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed menunjukkan peralatan dan dadah yang berjaya dirampas polis Selangor baru-baru ini.

Amaran PDRM

Tegas beliau, masyarakat diingatkan agar tidak melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang seperti terlibat dalam dadah.

“PDRM telah melaksanakan pelan tindakan drastik di mana pasukan pemantau dan strike team JSJN IPK akan membuat pemeriksaan kenderaan seperti motosikal, lori dan kereta secara kerap.“

Sekiranya tertangkap, mereka yang bersalah akan berdepan tindakan tegas undang-undang di bawah Akta Dadah Berbahaya,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!