Adham terima kunjungan Duta Arab Saudi

Adham
Adham
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini menerima kunjungan hormat Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan tujuan kunjungan itu yang diadakan di pejabat Dr Adham di Putrajaya adalah bagi membincangkan secara lanjut mengenai kerjasama antara kerajaan Arab Saudi dan Malaysia dalam bidang kesihatan.

Dalam perjumpaan itu, Dr Mahmoud Hussien turut mengucapkan tahniah atas kejayaan kerajaan Malaysia dalam mendepani pandemik Covid-19, menurut kenyataan itu.

“Dr Mahmoud Hussien juga mendoakan Malaysia terus berjaya dalam membendung wabak Covid-19.

“Beliau juga memberi ucapan tahniah khusus kepada KKM yang diterajui oleh Dr Adham dalam mencapai kejayaan itu,” menurut kenyataan tersebut.

Antara perkara yang dibincangkan dalam perjumpaan itu termasuk pembangunan kapasiti dalam kalangan pegawai perubatan dan kesihatan, pembangunan sumber manusia (jururawat), perkhidmatan jagaan kesihatan semasa musim haji dan umrah pasca-Covid-19 serta pelancongan kesihatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: