Hubungan Umno, Pas bukan rahsia lagi

Sany
Sany
A
A
A

SHAH ALAM - Hubungan mesra Pas dan Umno bukan lagi menjadi rahsia walaupun pimpinan parti berkenaan kerap menafikan perkara itu, kata Ketua Pemuda Amanah, Mohd Sany Hamzan.

Menurut Sany, ahli Pas di peringkat akar umbi semakin keliru dengan hubungan parti Islam itu bersama Umno yang dilihat semakin rapat khususnya dalam menghadapi beberapa PRK sebelum ini.

Oleh sebab itu, beliau berkata, penyokong Pas perlu menilai semula perkara ini dengan sebaiknya khususnya menjelang PRK Parlimen Cameron Highlands dan Dun Semenyih tidak lama lagi.

"Kita ucapkan syabas dan tahniah kepada (Pesuruhjaya Pas Selangor) Sallehen Mukhyi yang berani membuat kenyataan terbuka untuk menjalinkan kerjasama politik walaupun pimpinan kanan parti itu sebelum ini seolah-olah mahu menafikan perkara tersebut," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Semalam, Sallehen berkata Pas Selangor melahirkan keyakinan bahawa PRK Dun Semenyih pada 2 Mac ini akan mematangkan lagi hubungan kerjasama dengan BN khususnya Umno bagi merampas semula kerusi berkenaan selepas ini.

Ujar beliau, pihaknya juga akan memastikan 6,996 orang pengundi Pas di Dun berkenaan pada PRU14 lalu akan turun mengundi bagi memenangkan calon BN.

Mengulas lanjut mengenai persediaan PRK Dun Semenyih, Sany yang juga merupakan timbalan ketua pemuda PH memaklumkan bahawa gabungan itu tidak akan mengambil mudah dalam pertembungan bagi merebut kemenangan di kerusi berkenaan.

"Kita akan pastikan gerak kerja terbaik oleh jentera untuk membolehkan calon PH menang dalam PRK kali ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Sany berkata, kerusi Dun Semenyih sebelum ini sememangnya diperuntukkan kepada Bersatu sewaktu PRU14 lalu dan parti itu sudah semestinya mempunyai senarai calon yang berkelayakan untuk diketengahkan.

Namun begitu, beliau berkata segala keputusan berhubung pemilihan calon hanya akan ditentukan menerusi mesyuarat Majlis Presiden PH yang akan bersidang dalam tempoh masa terdekat.

"Apa yang pasti, Amanah akan menggerakkan jentera dari seluruh negara untuk membantu kempen PRK Semenyih ini," katanya.