X

Kindly register in order to view this article
!

Sepak mula Liga-M bersambung 26 Ogos

Saingan Liga-M ditangguhkan sejak 16 Mac lalu akibat pandemik Covid-19. - Foto peraktbgmy
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan Liga Malaysia (Liga-M) kembali bersambung pada 26 Ogos depan selepas ditangguhkan sejak 16 Mac lalu disebabkan pandemik Covid-19.

Keputusan menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL itu dicapai selepas menilai banyak faktor termasuk tempoh persiapan pasukan-pasukan bertanding dalam memastikan kualiti Liga Malaysia lebih kompetitif dan berkualiti.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, badan pentadbir liga tempatan itu percaya tarikh baharu saingan Liga Malaysia tersebut adalah yang terbaik buat kesemua pasukan selepas sesi latihan Fasa 2 telah dibenarkan oleh pihak kerajaan bermula 15 Julai lalu.

“Untuk memulakan kembali Liga Malaysia 2020 yang tertangguh sejak 16 Mac lalu beberapa perkara perlu dipatuhi oleh semua pasukan di mana setiap stadium atau venue perlawanan hendaklah berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan disahkan oleh MFL serta wajib menjalani proses nyahkuman dan disinfeksi.

“Komisioner perlawanan lantikan MFL akan membuat pemeriksaan stadium atau venue perlawanan sebelum liga dimulakan dan Operasi Standard Prosesur (SOP) pengelolaan perlawanan akan diedarkan oleh MFL kepada semua pasukan kelak.

“Bagi memastikan kelancaran Liga Malaysia 2020, pihak MFL juga semalam sudah mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Pengadil FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) bagi membincangkan persiapan dan SOP pertandingan. Apa yang pasti, kita memang sudah bersedia untuk menyambung semula saingan Liga Malaysia musim ini,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.

MFL kekal dengan format pertandingan Liga Super, Liga Premier di mana saingan secara separuh liga sahaja. Menerusi format itu, liga akan bersambung dari perlawanan kelima hingga perlawanan ke-11 dengan semua perlawanan mengikut jadual asal seperti yang telah ditetapkan.

Begitu juga dengan pertandingan Piala Malaysia yang akan berlangsung pada 17 hingga 18 Oktober depan dan akan berakhir pada 7 November manakala Piala FA dan Challenge Cup dibatalkan.

Format pertandingan Piala Malaysia akan dirombak apabila tiada saingan peringkat kumpulan dengan saingan 16 pasukan akan berlangsung secara kalah mati satu pusingan termasuk suku akhir dan separuh akhir.

Sebanyak 11 pasukan terbaik Liga Super dan lima pasukan terbaik Liga Premier (kecuali pasukan reserve team) yang layak beraksi dalam saingan Piala Malaysia akan diundi untuk menentukan perlawanan awal dan juga pasukan tuan rumah.

Bagaimanapun, Ab Ghani memaklumkan bahawa perlawanan tertunda iaitu aksi Liga Super yang menemukan PJ City FC menentang Terengganu FC serta perlawanan Liga Premier UKM FC bertemu Kelantan akan dimainkan pada 22 Ogos ini.

“Pasukan tuan rumah iaitu PJ City FC dan UKM FC hendaklah memastikan pelan kawalan keselamatan, persediaan stadium atau venue perlawanan, petugas-petugas stadium diatur dan disediakan dengan cukup rapi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani menegaskan kesemua pasukan tidak dibenarkan mengadakan perlawanan persahabatan bermula 15 sehingga 28 Julai ini.

Namun pasukan-pasukan berstatus dari Liga Super dan Liga Premier hanya dibenarkan mengadakan perlawanan persahabatan pada 2 Ogos sebaik tamat tempoh bertenang bermula 29 Julai dan tamat pada 1 Ogos depan.

“Tempoh ini adalah bagi penilaian dan pemantauan simptom Covid-19 bagi memastikan tahap kesihatan semua pegawai dan pemain masih baik setelah 14 hari tempoh Latihan Berkontak Fizikal dibenarkan di mana latihan pasukan masih dibenarkan sepanjang tempoh ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!