Umno sebelum ini terikat dengan kapitalis demokrasi

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan parti itu sebelum ini terikat dengan kapitalis demokrasi menyebabkan rakyat melihat pemimpinnya tidak berada di landasan perjuangan sebenar.

Katanya, demokrasi itu ciptaan manusia dan apabila terjalin dengan nilai kapitalis, akhirnya pemimpin ini hanya mengejar jawatan dan kebendaan semata-mata.

"Akhirnya perjuangan mereka bukan untuk rakyat tapi untuk kaya. Ini berlaku ketika kita (Umno) mempunyai kuasa.

"Tapi pada hari ini, selepas enam bulan saya menjadi Ketua Pemuda, di Cameron Highlands, Pemuda-pemuda Umno tidak tanya saya mengenai duit minyak, duit baju atau duit rokok. Kalau dahulu tidak seperti ini," katanya dalam Bicara Minda Sinar Harian, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai saranan supaya Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berehat bukanlah keputusan beliau seorang.

"Dalam Perhimpunan Agung Umno, teras ucapan saya adalah bangkit kembali di mana kita tidak boleh berkompromi dengan pemimpin yang terpalit dengan apa-apa dakwaan di mahkamah.

"Kita masih berpegang kepada prinsip seseorang itu bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Kita tak mahu pemimpin yang tidak boleh fokus kepada kepimpinan kerana faktor ini," katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan tidak pernah terlintas untuk menjadi Ketua Pemuda.

Artikel Berkaitan:

"Ketika dijemput oleh Datuk Seri Najib Tun Razak (ketika masih Presiden Umno) sebagai Ahli Majlis Tertinggi parti, saya tanya kenapa saya dipilih. Beliau terkejut kerana katanya ramai nak jawatan tersebut.

"Beliau minta saya untuk bantu beliau perkukuhkan agenda Islam, cuma apabila saya berada dalam lingkungan Umno, saya rasa amat sukar untuk pergi jauh. Suasana sebelum ini ketika bapa saya menjadi Exco Pemuda Umno itu berbeza di mana semangat perjuangan itu cukup tinggi," katanya.