Lima ahli Parlimen PN belum isytihar harta

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawab soalan semasa sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawab soalan semasa sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lima ahli Parlimen kerajaan masih belum mengisytiharkan harta masing-masing meskipun telah melebihi tempoh masa tiga bulan yang diberikan untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mendedahkan nama lima ahli Parlimen terbabit namun menegaskan bahawa beliau mengambil perhatian serius terhadap perkara tersebut.

Beliau turut memaklumkan sebanyak 97 peratus daripada senarai Kabinet kerajaan telah mengisytiharkan harta.

“Tata etika untuk isytihar harta ini sebenarnya bukan sebulan tapi tiga bulan saya minta maaf.

“Oleh sebab itu masa yang diberikan saya telah mencukupi, cuma setakat ini saya ingin memaklumkan daripada senarai Kabinet, 97 peratus telahpun menyerahkan.

“Ada lagi lima lagi. Yang lima ini saya tidak payah sebut. Saya akan ambil perhatian berat dan minta supaya disegerakan supaya perkara itu disempurnakan.

“Demikian juga di peringkat timbalan menteri dan juga ahli Parlimen di pihak kita,” katanya pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) mengenai perkembangan terkini pengisytiharan harta dalam kalangan ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) seperti diarahkan Perdana Menteri dalam satu sidang media pada 11 Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengucapkan tahniah kepada ahli Parlimen pembangkang yang telah mengisytiharkan harta ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Saya nak ucapkan tahniah di pihak sana yang saya dengar telah menyelesaikan masa pentadbiran dahulu semua sudah isytihar tapi di sini banyak yang baharu.

“Jadi mereka memerlukan sedikit masa. Saya percaya akan disempurnakan dalam tempoh yang terdekat ini,” katanya.