ADUN Slim selamat dikebumi

Mohd Khusairi selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Felda Sungai Behrang di sini hari ini.
Mohd Khusairi selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Felda Sungai Behrang di sini hari ini.
A
A
A

TANJUNG MALIM - [DIKEMASKINI] Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib selamat dikebumikan jam 9.20 pagi di Tanah Perkuburan Felda Sungai Behrang, di sini hari ini.

Allahyarham disahkan meninggal dunia semalam di Hospital Bentong akibat serangan sakit jantung.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di rumah ibunya di Felda Sungai Behrang pada jam 11 malam tadi dari Hospital Bentong, Pahang.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid Al-Rahmniah pada jam 7.30 pagi bagi memudahkan orang ramai menziarahi Allahyarham.

Sementara itu, adik Allahyarham, Othman Abdul Talib, 55, berkata, mereka sekeluarga terkejut dengan pemergian Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu.

Katanya, dia dimaklumkan mengenai keadaan Allahyarham semalam menerusi grup WhatsApp keluarga sebelum disahkan meninggal dunia.

"Setahu kami Allahyarham tak pernah menghidap apa-apa penyakit dan pemergiannya memang sangat mengejutkan kami sekeluarga.

"Kami tak nampak apa-apa perubahan. Kali terakhir kami berjumpa pun sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan hanya berhubung melalui WhatsApp," katanya kepada pemberita di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Behrang, di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Allahyarham merupakan anak ketiga daripada lapan adik beradik.

Dalam pada itu, beberapa pemimpin politik, rakan-rakan dan masyarakat setempat turut hadir memberikan penghormatan terakhir.

Antara pemimpin yang hadir menziarahi Allahyarham ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon; Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah dan Wilayah (Felda), Datuk Seri Idris Jusoh; Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria, beberapa Exco Kerajaan Perak dan ADUN-ADUN Perak.

Mohd Khusairi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO menjadi wakil rakyat Slim selama empat penggal sejak 2004.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Allahyarham mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dengan majoriti 2,183 undi menentang calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR Mohd Amran Ibrahim dan Muhammad Zulfadli Zainal daripada Pas.

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Jamilah Nordin dan tujuh orang anak.