ADUN pertikai bantuan RM500 kepada peniaga kecil

MUHAMMAD HILMAN
MUHAMMAD HILMAN
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham mempertikaikan pelaksanaan bantuan RM500 kepada peniaga kecil yang diumumkan menerusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin.

Menurut Muhammad Hilman, sejak bantuan diumumkan, kerajaan negeri dilihat hanya membelanjakan kurang daripada RM15 juta daripada inisiatif tersebut dengan penerima manfaat tidak lebih 22,000 peniaga.

Beliau berkata, perkembangan itu bertentangan dengan sasaran kerajaan negeri bagi membantu 80,000 peniaga kecil menerusi peruntukan RM40 juta.

"Masih ramai lagi peniaga yang mengadu tidak mendapat bantuan RM500 daripada kerajaan negeri. Pelbagai alasan diberikan.

"Namun hakikatnya kerajaan negeri berbelanja tidak sampai 50 peratus dari jumlah bantuan yang diperuntukkan” katanya pada sesi pertanyaan sewaktu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Sebelum ini, ketika membentangkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin pada 20 Mac lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan dana RM40 juta untuk melaksanakan insentif khas kepada peniaga dan penjaja berlesen yang terkesan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Kerajaan Selangor menyasarkan 80,000 peniaga dan penjaja berlesen akan menerima manfaat tersebut.

Artikel Berkaitan: