21,000 penerima kumpulan pertama terima RM1,500 menerusi Tawas - Amirudin

Amirudin (belakang, tengah) bergambar bersama-sama tetamu kenamaan dan penerima semasa Pelancaran Program TUAH di Shah Alam pada Sabtu.
Amirudin (belakang, tengah) bergambar bersama-sama tetamu kenamaan dan penerima semasa Pelancaran Program TUAH di Shah Alam pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperuntukkan kira-kira RM31.5 juta bagi membolehkan seramai 21,000 penerima menerima bayaran RM1,500 menerusi inisiatif Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) bagi kumpulan pertama tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sehingga kini kira-kira 13,000 penerima sudah mendaftar untuk menerima bayaran, manakala selebihnya masih dalam proses untuk dihubungi dan membuat tuntutan.

Menurutnya, kerajaan negeri akan terus mempergiatkan usaha promosi dan menghubungi penerima dalam tempoh beberapa bulan akan datang bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang mendapatkan bantuan berkenaan.

"Antara kekangan yang dihadapi ialah sebahagian penerima sudah berpindah atau menukar alamat serta nombor telefon menyebabkan mereka sukar dihubungi.

"Kita berharap siapa yang mendaftar Tawas tahun pertama (sejak diperkenalkan pada 2008), tolong hubungi pejabat khidmat (ADUN) atau pun pejabat Yawas (Yayasan Warisan Anak Selangor) untuk kita berikan sokongan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pelancaran Program Tuaian Anak Harapan Tawas (TUAH) di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, penerima kumpulan pertama Tawas mempunyai tempoh setahun daripada tarikh lahir sehingga berumur 19 tahun untuk menuntut wang RM1,500 berkenaan.

Amirudin memberitahu, peruntukan itu disediakan bagi memastikan penerima mempunyai tempoh mencukupi untuk membuat tuntutan termasuk mereka yang mungkin terlepas maklumat atau belum sempat berbuat demikian.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut mempunyai simpanan untuk menampung pembayaran kepada penerima bagi tempoh sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun akan datang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, simpanan itu mula dikumpulkan sejak 2008 sebelum dilaburkan melalui program Selangor Advance bermula pada 2021 dan memperoleh pulangan sekitar tujuh hingga lapan peratus.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan, pendekatan simpanan untuk anak Selangor turut diteruskan menerusi Iltizam Anak Selangor (ANAS) yang bermula pada 2022 dengan kerajaan negeri menyediakan simpanan RM500 dan memberikan RM100 setiap tahun.

"Paling tidak kerajaan negeri memperuntukkan RM500 dan duit ini kalau ditambah akan berkembang dan sebagainya,” ujar beliau.

Menurutnya, kerajaan negeri turut melihat peluang untuk menambah sokongan kepada pelajar universiti termasuk menerusi Selangor Technical and Digital Skills Academy (STDC) serta program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bergantung kepada sambutan terhadap inisiatif berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!