Cahaya Gemilang MMT tawar latihan formal perawat tradisional

A
A
A

BAGI merealisasikan hasrat melahirkan pelajar dalam industri terapi urut dan perubatan Islam, Cahaya Gemilang Masseur & Mind Therapy (MMT) Sdn Bhd tampil ke hadapan dengan menyediakan latihan yang kompetitif dan komprehensif dalam bidang itu.

Presiden Pertubuhan Pengamal MMT, Datuk Seri Jamil Aris Hamidun berkata, usaha itu diharap dapat mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan dan lubuk perniagaan kepada bakal graduan.

“MMT mahu didik perawat dan pakar urut profesional yang mampu bersaing hingga ke peringkat antarabangsa. Ia menepati misi dan visi kami melahirkan perawat MMT bagi jana pendapatan lumayan dengan pakej lengkap berserta tauliah,” katanya selepas Majlis Konvokesyen Kali Pertama Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Supreme Master Skills MMT kepada graduan di ibu negara baru-baru ini.

Majlis tersebut dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri Jeram, Mohd Shaid Rosli.

Hadir sama Pengerusi Akademi Intelek Pengajar Vokasional, Raja Nor Raidah Raja Yaacob.

Setakat ini, MMT mempunyai 20 cawangan di seluruh negara.

Dalam pada itu, Jamil berkata, walaupun berteraskan kepada rawatan tradisional, pihaknya turut menawarkan latihan menggabungkan aspek kerohanian dengan poin saraf.

Mengambil contoh 52 graduan pada konvokesyen kali ini, beliau berkata, setiap daripada mereka mempunyai pengalaman dalam bidang urutan melebihi lima tahun.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Shaid berkata, perawat di kawasan luar bandar pada kebiasaannya mempunyai kemahiran mengurut tradisional. Namun, sayangnya, tidak mempunyai pengiktirafan rasmi.

“Kemahiran mereka tidak dikomersialkan. Dengan adanya usaha seperti daripada MMT, diharap ia dapat membantu golongan seperti ini,” katanya.

Salah seorang graduan, Nur Insyira Hayati Masdol, 49, berkata, dia teruja dapat mengikuti kursus yang ditawarkan.

Daripada terpaksa menyewa tapak untuk menawarkan perkhidmatan, Nur Insyira berkata, dia berjaya menyewa premis sendiri yang turut menawarkan latihan urut dan terapi.

“Saya rasa berbaloi kerana bukan sahaja belajar mengurut tetapi cara rawat gelombang negatif yang kita tak nampak,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi Cahaya Gemilang MMT (03-6128 1738).