X

Kindly register in order to view this article
!

Ketua PKR Cabang Jempol isytihar keluar parti

Karip (duduk di tengah) bersama mereka yang mengisytiharkan keluar PKR pada sidang akhbar di Jempol hari ini.
A
A

JEMPOL - Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Jempol, Karip Mohd Salleh yang digantung keahlian pada April lalu mengisytiharkan keluar parti berkuatkuasa hari ini.

Selain Karip, turut mengisytiharkan keluar parti ialah 25 ahli jawatankuasa tertinggi serta lantikan cabang itu termasuk Timbalan Ketuanya, Halim A Aziz; Naib Ketua I, T.Murly; Timbalan Ketua Wanita, Norizan Musa; mantan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Jempol, Abdul Harris Zulkifli dan pemangku Ketua AMK Jempol, Nur Akmal Idzwan Wahid.

Karip berkata, keputusan itu dibuat selepas masing-masing sudah hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti dalam mengemudi saf kepimpinan sama ada ada di peringkat persekutuan atau pun negeri.

"Pimpinan PKR gagal menangani kemelut dalaman parti sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

"Pemecatan dan penggantungan anggota yang berterusan juga adalah langkah sumbang PKR dalam menarik minat rakyat untuk bersama," katanya pada sidang akhbar di Pejabat PKR Jempol di sini hari ini.

Sementara itu, Karip berkata, beliau tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan parti menggantung keahliannya sejak April lalu.

Selain beliau, katanya, Timbalannya dan Naib Ketua I juga digantung keahlian pada Jun dan Mei lalu.

"Saya tidak akan membuat rayuan terhadap pengantungan ini kepada pihak displin parti dan sebulat suara bersama AJK terlibat untuk keluar parti hari ini," katanya.

Beliau turut menjangkakan terdapat 300 hingga 400 ahli PKR Jempol akan mengambil keputusan sama meninggalkan parti dalam masa terdekat.

Mengenai perancangan masa depan, Karip berkata, pihaknya akan menyertai Penggerak Komuniti Negara Negeri Sembilan dan seterusnya memberikan sokongan padu kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf