Ada anggota polis bayar ribuan ringgit untuk naik pangkat: KPN

Abdul Hamid Bador - Foto Bernama
Abdul Hamid Bador - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ada pegawai dan anggota polis membayar ribuan ringgit kerana ingin lulus peperiksaan dalaman bagi mendapatkan peluang temu duga untuk kenaikan pangkat, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Mendedahkan perkara itu, beliau berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenai pegawai dan anggota yang membayar antara RM4,000 hingga RM10,000 kepada pihak ketiga semata-mata untuk tujuan itu.

“Saya tidak akan sesekali bertoleransi dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang mengambil suapan bagi meluluskan peperiksaan dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada pihak terbabit.

“Oleh yang demikian, PDRM akan mewujudkan satu sistem khas bagi mengelak pihak ketiga daripada mengakses dan mengubah keputusan peperiksaan kenaikan pangkat," katanya kepada Bernama di Bukit Aman, di sini.