X

Kindly register in order to view this article
!

'Saya tiada niat menipu'

Syaiful menunjukkan gambar yang diedit dan tular kerana dikatakan seiras Shah Rukh Khan di laman sosial sejak semalam.
A
A

TEMERLOH - Seorang peniaga roti canai di sini memaklumkan beliau tiada niat menipu selepas gambarnya yang seiras pelakon ternama Bollywood, Shah Rukh Khan tular di laman sosial sejak semalam.

Syaiful Afenddi Ismail, 44, berkata, pada mulanya beliau sekadar suka-suka mengedit gambarnya menggunakan sebuah aplikasi dan memilih wajah Shah Rukh Khan sebelum dimuat naik di media sosial.

Menurutnya, beliau tidak sangka wajahnya sesuai dengan wajah Shah Rukh Khan sehingga tular di media sosial.

"Saya tiada niat nak menipu...sekadar hendak bergurau dan selepas memilih wajah Shah Rukh Khan tidak sangka sesuai dan kena dengan wajah saya.

"Saya hanya kongsi gambar yang diedit itu di Facebook sejak kelmarin dengan niat bergurau.

"Pagi semalam, ada rakan memberitahu gambar saya itu sudah dikongsi pengguna Facebook dan sehingga hari ini dengan lebih 1,000 perkongsian serta komen di Facebook saya," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini hari ini.

Antara gambar Syaiful seiras Shah Rukh Khan yang tular di laman sosial sejak semalam.
Antara gambar Syaiful seiras Shah Rukh Khan yang tular di laman sosial sejak semalam.

Bapa kepada lima cahaya mata berusia 18 hingga 8 tahun itu juga aktif dengan aktiviti kemasyarakatan dan bertugas sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Unit Promosi dan Media Korporat Masjid Temerloh Jaya yang turut terkenal di seluruh negara dengan kehadiran jemaah terutama ketika solat Subuh.

Ditanya reaksi keluarga, Syaiful berkata, keluarganya faham bahawa gambar itu sekadar gurauan namun mengakui isterinya, Situ Fatimah Abdullah, 42, ada menegur tindakannya.

"Selepas gambar saya tular, saya terima banyak menerima permintaan untuk menjadi kawan di Facebook dan majoritinya wanita malah ada dari Indonesia.

"Saya ingin meminta maaf kepada mereka yang merasa tertipu, tak sangka penangannya memang lain macam," katanya.

Mengakui ada yang memarahinya selepas melihat wajah sebenarnya, Syaiful yang meminati Shah Rukh Khan berkata, kesan daripada wajahnya yang tular itu juga dapat mendedahkan segala aktiviti masjid yang banyak dikongsi dalam Facebooknya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus