Kes denggi di Perlis menurun

Exco Kesihatan Negeri, Teh Chai Aan
Exco Kesihatan Negeri, Teh Chai Aan
A
A
A

PADANG BESAR - Kes denggi di Perlis menunjukkan penurunan dengan jumlah 46 kes dari Januari hingga bulan ini berbanding 229 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Exco Kesihatan Negeri, Teh Chai Aan berkata, jumlah itu merekodkan penurunan sebanyak 183 kes iaitu 79.9 peratus.

Beliau berkata, hanya dua kes direkodkan pada minggu ke-28 antara 5 hingga 11 Julai lalu manakala 11 kes pada minggu sebelumnya.

"Penurunan ini hasil tindakan bersepadu pelbagai jawatankuasa kampung, masyarakat dan individu yang menggempur sarang pembiakan aedes.

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kes denggi mendatar dan menurun," katanya kepada pemberita selepas lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Puan Muda Tengku Fauziah, Jalan Kaki Bukit di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat ada dua kes baharu selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diumumkan namun tindakan lebih agresif telah diambil untuk menyelesaikan masalah pembiakan nyamuk aedes.

Dalam perkembangan lain katanya, pihaknya sedang berusaha keras dalam memastikan Perlis mencapai tahap zon putih bagi menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Chai Aan berkata, tiada sesiapa pun boleh mengambil sikap lewa selepas Perlis diisytiharkan sebagai negeri zon hijau pada 23 April lalu.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, beliau turut membuat penyerahan sumbangan cecair pembasmi kuman dan pengimbas suhu kepada 13 buah sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi.