X

Kindly register in order to view this article
!

Kadar pengangguran di Malaysia meningkat

Kadar pengangguran di Malaysia meningkat kepada 5.3 peratus pada Mei tahun ini yang mencatatkan 826,100 penganggur. Foto: 123RF
A
A

PUTRAJAYA - Kadar pengangguran di Malaysia meningkat kepada 5.3 peratus pada Mei tahun ini yang mencatatkan 826,100 penganggur, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kadar pengangguran terus meningkat 0.3 mata peratus bagi perbandingan bulan ke bulan kepada 5.3 peratus berikutan bilangan penganggur bertambah sebanyak 47,300 kepada 826,100 orang.

Bagaimanapun, beliau berkata, peningkatan bulanan bilangan penganggur pada Mei 2020 adalah lebih rendah berbanding Mac hingga April iaitu 168,300.

“Pengurangan itu berkemungkinan disebabkan pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan bagi mencapai sasaran tertentu di samping lebih banyak perniagaan yang dibenarkan beroperasi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat pada bulan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja untuk sementara waktu turut berkurang melebihi separuh kepada 2.27 juta pada Mei tahun ini, berbanding 4.87 juta pada April 2020.

“Kumpulan ini yang berkemungkinan besar tidak dapat bekerja dari rumah tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mempunyai pekerjaan dan akan kembali semula bekerja,” katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah tenaga buruh pada Mei 2020, penduduk bekerja mencatatkan penurunan marginal 0.3 peratus kepada 14.89 juta orang.

Sehubungan itu, beliau berkata, nisbah guna tenaga kepada penduduk yang memberikan maklumat mengenai kemampuan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga, turun 0.4 mata peratus kepada 64.4 peratus.

“Pada bulan itu, penduduk bekerja yang terjejas adalah dalam sektor perkhidmatan terutamanya industri berkaitan pelancongan, penginapan, perancang acara, kesenian dan hiburan, aktiviti sukan dan rekreasi serta perkhidmatan lain,” katanya.

Berikutan pengesanan peningkatan kluster koronavirus (Covid-19) dalam kalangan pekerja asing oleh pihak berkuasa kesihatan, beliau berkata penurunan pekerja yang ketara turut berlaku dalam sektor pembinaan.

Mohd Uzir berkata, bilangan pekerja bekerja sendiri terus mencatat penyusutan sejak Mac dan pada Mei, kumpulan itu adalah seramai 2.42 juta, berkurangan 161,500 juta orang berbanding bulan sebelumnya.

“Kebanyakannya bekerja secara gaji harian di pasar tani, pasar malam dan gerai makanan, pekerja bebas (freelancer) serta pekebun kecil.

“Berikutan fasa PKP bersyarat masih tidak membolehkan perniagaan beroperasi seperti biasa, kumpulan pekerja ini telah dan berisiko tinggi untuk kehilangan pekerjaan dan pendapatan,” katanya.

Sementara itu, Kadar Penyertaan Tenaga Buruh pada Mei 2020 berjumlah 68.1 peratus dengan mencatat penurunan 0.1 mata peratus berbanding bulan sebelumnya berikutan aliran keluar tenaga buruh yang terus meningkat.

Luar tenaga buruh pada Mei 2020 meningkat 0.6 peratus dengan aliran masuk 47,000 berbanding 105,300 pada bulan sebelumnya.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7.39 juta orang. Peratus sumbangan terbesar iaitu 43.4 peratus di luar tenaga buruh adalah disebabkan kerja rumah atau tanggungjawab keluarga, diikuti 39.1 peratus yang masih bersekolah,” katanya.

Mohd Uzir berkata, indikator ekonomi pada Mei 2020 menunjukkan peningkatan berbanding bulan sebelumnya dan ini memberi isyarat keadaan ekonomi yang beransur pulih secara berperingkat.

“Sehubungan itu, walaupun trend negatif penawaran buruh berterusan sehingga Mei 2020, keadaan ini adalah lebih baik berbanding bulan sebelumnya.

“Dijangkakan, dengan penguatkuasaan PKP Pemulihan mulai 10 Jun lepas, keadaan perniagaan akan semakin pulih berikutan lebih banyak sektor telah dibenarkan beroperasi dengan prosedur operasi standard yang ketat. Ini seterusnya dijangka mengekalkan pekerjaan, mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan pengambilan pekerja,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus