X

Kindly register in order to view this article
!

Timbalan Menteri arah pemandu serah kunci kereta JPNP

Paparan skrin laporan polis yang tular di media sosial.
A
A

SHAH ALAM - Seorang penjawat awam tampil membuat laporan di Balai Polis Raub, Pahang berhubung penggunaan kenderaan kerajaan untuk melakukan tugasan parti dalam kempen PRK Parlimen Cameron Highlands.

Menurut Pembantu Awam, Muhammad Azuan Azman, kenderaan pacuan empat roda milik Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) yang dipertanggungjawabkan kepadanya telah diserahkan kepada pembantu Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

"Kereta tersebut dipandu oleh Abdul Munim Abdul Razak atas arahan Yang Berhormat (YB) Tengku Zulpuri. Saya telah menyatakan bahawa kenderaan ini milik Jabatan Perhutanan Negeri Pahang namun YB meminta kunci kenderaan dan menyerahkan kepada pembantunya untuk mengambil peralatan muzik tradisional di kampung bersebelahan yang terletak sejauh satu kilometer.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh di Pos Lenjang: Maznah akui terkejut]

[ARTIKEL BERKAITAN:Ramli buat dua laporan polis]

"Selepas satu jam pemandu kenderaan ini menyerahkan kunci semula pada saya dan memberitahu kenderaan yang dipandu ini telah ditahan oleh penyokong BN," katanya menerusi satu laporan polis yang tular di media sosial.

Pada 21 Januari lalu, calon BN, Ramli Mohd Nor telah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Koyan mengenai kes dua lelaki memakai baju PH yang dikesan menggunakan kenderaan kerajaan untuk melakukan tugasan parti dalam kempen PRK Parlimen Cameron Highlands.

Sebelum ini, tular di laman sosial sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki kedua-dua lelaki tersebut mempunyai logo Jabatan Perhutanan Negeri Pahang yang disembunyikan di bawah bendera parti Pakatan Harapan dan Jalur Gemilang.

Muhammad Azuan dalam laporan polisnya berkata, dia mengetahui tentang kejadian tersebut ketika dalam perjalanan keluar dari Pos Lenjang menuju ke Sungai Koyan menerusi laman sosial Facebook dan WhatsApp.

"Video berdurasi selama satu minit 33 saat itu memaparkan tentang kereta Toyota Hiluk milik Jabatan Perhutanan Negeri Pahang telah disoal siasat oleh penyokong BN bersama calon BN, Ramli Mohd Nor dan Datuk Maznah Mazlan bekas Menteri Sumber Manusia dan bekas ADUN Muadzam.

"Video itu menunjukkan kenderaan Toyota Hilux tersebut bukan di pandu oleh saya selaku pemandu bertanggungjawab terhadap kenderaan itu," ujar beliau.

Sehubungan itu, Muhammad Azuan membuat laporan polis bertujuan untuk mempertahankan tindakannya menyerahkan kenderaan milik Jabatan Hutan Negeri Pahang kepada pihak lain.