PDRM timbang guna pistol perenjat elektrik

Abdul Hamid Bador - Foto Bernama
Abdul Hamid Bador - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mempertimbangkan untuk menggunakan pistol perenjat elektrik (taser gun) secara menyeluruh bagi pegawai dan anggotanya semasa melaksanakan tugas harian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya kini sedang mengurangkan penggunaan senjata api terutama apabila berdepan dengan orang agresif atau mengamuk.

“PDRM tidak mahu tembak dan ingin menyelesaikan masalah tanpa meragut nyawa, misalnya orang yang di bawah pengaruh dadah akan bersikap agresif maka kami ingin memakai taser gun sahaja untuk menyelesaikan kes-kes mengamuk ini.

“Meskipun penggunaan pistol perenjat elektrik ini pernah diperkenalkan sebelum ini namun tidak banyak yang disediakan kepada anggota polis dan kebanyakannya adalah berkualiti rendah,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman, di sini.

Beliau berkata pistol perenjat elektrik ini mempunyai jangka hayat tertentu dan jangka hayat berkenaan bergantung kepada kualiti pistol perenjat elektrik itu.

Abdul Hamid berkata, ada pistol perenjat elektrik mempunyai jangka hayat sehingga lima tahun dan ada juga yang setahun bergantung kepada kualiti produk itu.

“Jadi kalau boleh PDRM mahu seperti pistol perenjat elektrik yang diguna pakai polis Amerika Syarikat yang tahan lasak” katanya.

Mengulas mengenai penggunaan kamera badan, Abdul Hamid berkata, PDRM kini sedang dalam proses perolehan kemudahan itu di peringkat Kementerian Dalam Negeri untuk digunakan anggota polis membuat rondaan terutamanya di kawasan bandar raya.

Artikel Berkaitan:

“Selepas ini, semua kereta peronda PDRM juga akan ada kamera termasuk kamera badan pada anggota kami yang bertugas kerana mereka ini berinteraksi dengan orang ramai di luar sana,” katanya.

Beliau berkata pucuk kepimpinan kerajaan yang lepas telah meluluskan penggunaan kamera badan ini, namun kini ia masih dalam proses menunggu tender dan sebagainya.

Mengenai kesiapsiagaan PDRM menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang, beliau menegaskan PDRM sentiasa bersedia dan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk menghadapi PRU15. - Bernama