X

Kindly register in order to view this article
!

Usahawan IPTS rayu bantuan RM10 bilion

Amir Hamzah
A
A

TIDAK ramai yang tahu institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Malaysia merupakan sebuah bisnes yang besar. Nilai bisnesnya adalah sebanyak RM31.5 bilion setahun, melibatkan 437 IPTS dan 666,000 pelajar.

Wabak Covid-19 yang melanda turut menyebabkan kerosakan besar ke atas ekonomi pendidikan di negara ini apabila kemasukan pelajar pada tahun ini turun mendadak khususnya sepanjang tempoh tiga bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi Presiden Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia, Amir Hamzah Md Isa, sudah tiba masanya kerajaan memberi bantuan dan tumpuan khusus kepada industri IPTS yang menyumbang secara signifikan kepada ekonomi dan pembinaan insani di negara ini.

Dalam wawancara Sinar Ahad bersama Timbalan Pengarang Berita, Zuki Pileh dan wartawan Mohd Hafiz Ismail, Amir Hamzah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Uniti berdiskusi mengenai pelbagai idea untuk memartabatkan IPTS Malaysia di mata dunia termasuk cadangan agar kerajaan mewujudkan dana segera bernilai RM10 bilion bagi membantu usahawan pendidikan yang terjejas.

SINAR AHAD: Secara spesifik, berapa besarkah bisnes IPTS di Malaysia?

AMIR HAMZAH: Ramai yang tidak tahu bahawa industri IPTS telah memberikan sumbangan cukup besar dalam pelbagai dimensi. Nilai RM31.5 bilion setahun merupakan nilai ekonomi yang disumbangkan oleh IPTS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu sekitar 2.5 peratus. Sumbangan itu dalam bentuk yuran pelajar. Daripada jumlah itu, RM11 bilion disumbangkan oleh pelajar antarabangsa. Itu dimensi pertama. Dimensi kedua pula ialah ramai tidak sedar bahawa 50.3 peratus pelajar pengajian tinggi di Malaysia belajar di IPTS. Daripada 1.3 juta pelajar secara keseluruhan, 666,000 pelajar berada di IPTS. Mereka berusia antara 18 hingga 24 tahun.

Kita bayangkan andai IPTS tidak ada, kerajaan perlu sediakan tempat kepada 666,000 pelajar ini. Saya lihat itulah sumbangan langsung IPTS. Kerajaan tidak perlu mengeluarkan apa-apa pembiayaan atau bantuan setakat ini sejak tempoh 30 tahun lalu kerana 437 buah IPTS itu berdiri sendiri. Kalau kita tengok dari segi nilai perbelanjaan yang dikeluarkan oleh 437 buah IPTS itu, angkanya adalah sekitar RM7.4 bilion setahun. Kalau kerajaan ingin mengambil alih peranan IPTS, maknanya perlu ada suntikan perbelanjaan kerajaan sekitar jumlah itu atau mungkin lebih kerana IPTS berorientasikan perniagaan.

Bagaimanakah teruknya kesan wabak Covid-19 ke atas IPTS khususnya milik bumiputera?

Covid-19 memberi kesan langsung kepada IPTS. Kes Covid-19 pertama di Malaysia dikesan pada Januari lalu dan kita mulakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac. Bulan Mac sebenarnya bulan produktif bagi IPTS. Ia waktu pengambilan pelajar baharu. Seminggu atau dua minggu sebelum PKP lagi, banyak program promosi termasuklah acara kerajaan sendiri seperti Jom Masuk IPT dibatalkan bagi mengurangkan perhimpunan.

Sebab itu saya katakan ketika itu kesannya lebih besar kerana keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia telah keluar, IPTS mula mempromosi pengambilan pelajar baharu. Bila PKP bermula, kita terpaksa berhenti. Pengambilan pelajar baharu tidak berlaku pada Mac, April dan Mei. Bila memasuki Jun, ia sedikit dilonggarkan secara bersyarat. Kesediaan 437 buah IPTS itu banyak lapisannya di mana mungkin ada IPTS yang lebih bersedia atau berkemampuan untuk bangkit atau memulakan semula apa yang telah terhenti.

Saya boleh katakan memang banyak IPTS terjejas dan mungkin sekitar 60 hingga 70 peratus. Ia mungkin disebabkan faktor tidak bersedia sama ada dari sudut pengurusan, kewangan dan simpanan. Alhamdulillah kita telah berada pada fasa pemulihan tetapi kerosakan yang dialami besar kerana tidak ada pengambilan pelajar sejak tiga bulan lalu.

Pada pandangan anda, adakah IPTS di negara ini satu perniagaan yang menguntungkan?

Bila kita sebut perniagaan, ia mesti untung. Kalau perniagaan tidak menguntungkan, kita tidak boleh teruskan perniagaan itu. Perniagaan yang tidak menguntungkan akan memudaratkan ramai orang. Jika tidak untung, kita tidak berupaya memberikan servis sepatutnya kepada pelajar. Perniagaan ini wajib untung walaupun untung bergantung kepada falsafah masing-masing.

Ada yang melihat objektifnya untung tetapi orang melihat mereka nak untung tetapi nak memberikan pendidikan, manfaat dan peluang tetapi dia wajib untung. Ini kerana kalau dia rugi, kita tidak boleh memberikan peluang pendidikan itu kepada pelajar. Jika tahun ini kita kerugian kira-kira RM5 juta sebagai contoh dan tahun depan kita rugi lagi, maknanya kita tidak dapat meneruskan perniagaan, terpaksa tutup dan menyebabkan pelajar yang telah masuk mendaftar, membuat pinjaman dan membayar yuran tidak dapat meneruskan pengajian. Sebab itu, dalam perniagaan mesti untung.

Saya percaya IPTS satu perniagaan yang kalau diuruskan dengan betul ia boleh maju kerana potensinya sangat besar. Kalau diberikan sokongan kuat oleh kerajaan dari segi polisi dan sebagainya, saya pasti ia akan lebih maju. Kebanyakan rakan yang mengusahakan IPTS ini keuntungan mereka dipulangkan kembali kepada institusi dengan memberikan perkhidmatan dan kemudahan lebih baik. Jika industri ini tidak untung, ia sudah lama terpadam. Cuma ia bukan suatu yang mudah kerana kira-kira 10 tahun lepas kita ada hampir 600 IPTS tetapi pada hari ini cuma tinggal 437 buah.

Benar banyak yang tutup atas pelbagai faktor tetapi kita lihat banyak pula IPTS yang semakin hari semakin menonjol. Malah ada yang mendapat ranking setara atau lebih baik daripada universiti awam. Itu semua hasil daripada keuntungan yang digunakan bagi membangunkan IPTS itu sendiri.

Antara dilema yang dikatakan dihadapi IPTS ialah dalam mengejar keuntungan, kualiti dan prestasi pelajar adakalanya dikorbankan. Apakah pandangan anda?

Itu salah satu salah faham dalam kalangan masyarakat kononnya IPTS sanggup buat apa sahaja untuk perniagaan. Sebenarnya tidak kerana kita merupakan sebuah industri yang sangat dikawal. IPTS tidak boleh mengambil pelajar yang tidak layak kerana ia salah dari sudut akta dan undang-undang. Kalau saya mengambil pelajar yang tidak cukup syarat masuk, saya boleh dikenakan tindakan denda dan penjara.

Kami perlu mengikuti syarat dan kami juga diaudit, jadi ia bukan sesuatu yang mudah bagi IPTS untuk melakukan kesalahan sebegitu. Ruang bagi IPTS yang nakal mahu mengambil pelajar yang tidak cukup syarat kurang sebenarnya. Ini kerana apabila didapati ada seorang pelajar yang tidak cukup syarat, program itu boleh ditarik balik atau tidak mendapat akreditasi penuh.

Wawancara Sinar Ahad bersama Amir Hamzah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Uniti berdiskusi mengenai pelbagai idea untuk memartabatkan IPTS Malaysia di mata dunia. -Foto Sinar Harian
Wawancara Sinar Ahad bersama Amir Hamzah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Uniti berdiskusi mengenai pelbagai idea untuk memartabatkan IPTS Malaysia di mata dunia. -Foto Sinar Harian

Apabila program tersebut tidak mendapat akreditasi, pelajar yang tamat pengajian itu seolah-olah diplomanya tidak diiktiraf. Mereka tidak boleh bekerja dengan jabatan kerajaan. Kita ambil contoh barangan elektrik, bila ada cop SIRIM, kita yakin untuk menggunakan alat tersebut. Sama juga dengan IPTS, kita ada MQA (Agensi Kelayakan Malaysia) yang memberikan pengiktirafan kepada program-program yang ditawarkan di IPTS.

Walaupun telah lebih 30 tahun industri ini, salah faham sebegitu masih ada dalam kalangan masyarakat terutama orang Melayu. Ini kerana perspektif mereka ialah para pelajar perlu memasuki universiti awam. Itu keutamaan mereka. Akan tetapi rakan-rakan kita daripada kaum lain lebih terbuka. Kadang-kadang mereka lebih memilih IPTS untuk kursus tertentu.

Dalam keadaan ekonomi yang kurang baik sekarang, apakah bantuan segera yang IPTS harapkan daripada kerajaan?

Bagi saya IPTS kalau hendak dibantu melibatkan dua perkara utama. Pertama, kerajaan boleh menyediakan satu kemudahan pembiayaan khusus kepada industri IPTS. Sebenarnya, kerajaan telah pun sediakannya untuk semua industri dalam pakej Penjana (Bantuan Prihatin Nasional dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara). Oleh sebab semua industri terjejas, mungkin semuanya memohon.

Jadi, biarlah ada satu bantuan khusus kepada IPTS. Untuk IPTS bumiputera, satu skim khusus atau tabung pemulihan usahawan pendidikan boleh diperkenalkan. Ini kerana pengusaha IPTS merupakan seorang usahawan. Biasanya untuk golongan usahawan di negara ini ada banyak tabung bantuan dan saya cadangkan supaya diwujudkan tabung usahawan pendidikan.

Kedua, kerajaan boleh menyediakan fasilitasi kepada pelajar yang mahu menyambung pengajian kerana Covid-19 merentas seluruh sektor ekonomi dengan ramai hilang pekerjaan. Sebagai contoh apabila sebuah hotel tutup, jumlah mereka yang hilang pekerjaan mungkin sekitar 200 orang. Mereka ada anak-anak yang mahu belajar. Jadi saya cadangkan supaya kerajaan melihat perkara ini dengan memberikan satu keupayaan kepada para pelajar agar dapat meneruskan pengajian.

Kita di peringkat persatuan juga telah mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan antaranya mengembalikan pinjaman PTPTN pada kadar asal. Pada 2016 ia dikurangkan sebanyak 15 peratus daripada RM4,000 atau RM8,000 setahun. Alhamdulillah cadangan itu telah diterima dan di peringkat pelaksanaan. Kalau dapat dipercepatkan lebih bagus.

Khusus untuk bumiputera pula, saya cadangkan diwujudkan satu dana khusus daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi pelajar-pelajar bumiputera yang ingin sambung pengajian di IPTS bumiputera dengan diberikan pinjaman. Dana tambahan baharu boleh disediakan kerajaan dan boleh dilaksanakan menerusi Mara sebagai payung kepada usahawan dan pendidikan bumiputera.

Berapakah nilai yang diperlukan bagi sebuah tabung atau dana baharu jika ingin diperkenalkan oleh kerajaan?

Soalan ini sukar untuk dijawab kerana kita mempunyai 437 buah IPTS dan saya tidak pasti adakah kesemua IPTS itu memerlukannya. Andaikan kesemua memerlukannya, dana sekurang-kurangnya RM10 bilion diperlukan dengan menjangkakan bahawa kesan kepada perniagaan akan berlanjutan untuk satu tempoh lebih lama. Ini kerana kesannya merentas kesemua sektor melibatkan ratusan ribu yang hilang pekerjaan.

Mereka ini yang akan menjadi pelanggan kita. Kita juga menjangkakan jumlah pengambilan pelajar antarabangsa akan jatuh teruk kerana halangan perjalanan dan syarat-syarat ketat kemasukan.

Kesan ekonomi ini akan berpanjangan. Anggaran RM10 bilion itu adalah bagi keseluruhan industri IPTS. Jika hanya untuk bumiputera, saya fikir ia tidak sebesar itu. Ini bagi menghadapi kesan langsung wabak Covid-19.

Di negara maju, IPTS seperti Universiti Harvard dan Universiti Yale di Amerika Syarikat merupakan peneraju pendidikan tinggi negara tersebut. Di tahap manakah IPTS tempatan dari segi penjenamaan global ini?

IPTS di Malaysia terbahagi kepada tiga kategori iaitu kolej, kolej universiti dan universiti. Jadi lesen atau kebenaran menjalankan perniagaan sebagai sebuah pusat pengajian tinggi dibahagikan kepada tiga kategori itu tadi. Status 437 buah IPTS tidak sama kerana ada yang besar dan kecil. Industri ini telah mencapai kematangan dan ada IPTS yang sudah berjaya bangunkan perniagaan mereka setanding dengan universiti awam.

Malah, ada yang lebih baik jika diambil kira dari segi rating atau ranking. Bagi IPTS bumiputera, MSU (Management & Science University) adalah antara yang boleh dibanggakan.Saya kira kita ke arah itu. Cuma cabaran IPTS ini berbeza daripada IPTA kerana IPTA mendapat dana daripada kerajaan bagi tujuan operasi dan pembangunan setiap tahun. Di IPTS, soal pembangunan dan operasi ditanggung oleh pembayaran yuran pelajar. Itu satu cabaran kita dalam industri ini.

Kerajaan sebelum ini menyasarkan seramai 200,000 pelajar antarabangsa belajar di Malaysia. Bagaimanakah jumlah ini dapat dicapai?

Kerajaan memang meletakkan sasaran untuk mencapai angka 200,000 pelajar antarabangsa di Malaysia pada 2020 tetapi terpaksa dilanjutkan sehingga 2025. Pada 2018, jumlah pelajar ini sekitar 93,000 orang. Pada tahun ini, penularan wabak Covid-19 akan menyebabkan angka ini menurun.

Tetapi dengan perancangan yang betul dan bantuan daripada kerajaan, industri ini lebih mudah berkembang. Alhamdulillah, Pasukan Petugas Pemudahcara IPTS Sebagai Industri (Pemudah IPTS) sedang melihat isu ini khususnya bagaimana untuk membantu sektor pendidikan tinggi swasta mencapai sasaran 200,000 pelajar antarabangsa.

Kita boleh samakan jumlah pelajar antarabangsa ini dengan pelancong asing, cuma yang membezakannya ialah mereka tinggal sekitar tiga atau empat tahun. Cuba bayangkan berapa nilai ekonomi yang dibawa oleh pelajar antarabangsa ini.

Bagaimana dengan kebolehpasaran lepasan IPTS dalam bidang pekerjaan?

IPTS pada asasnya sebuah perniagaan. Perkara utama apabila kita berniaga kita akan pastikan produk yang kita jual merupakan produk yang bagus. Kebanyakan IPTS menawarkan program-program yang berdaya maju. Maksudnya pemilihan program yang ditawarkan itu dibuat berdasarkan kepada aspek kebolehpasaran pelajar memasuki sektor pekerjaan.

Cuma lulusan sesebuah IPTS itu mungkin tidak sama kualitinya disebabkan orientasi pembelajaran yang berbeza. Sebab itu kementerian membuat penarafan. Salah satu penilaian yang dibuat ialah kebolehpasaran graduan yang keluar daripada sesebuah institusi. Ada lulusan IPTS mudah dapat kerja, tapi ada juga yang susah. Namun, ada IPTS yang kebolehpasaran pelajar lepasannya 100 peratus.

ANEKDOT

Kenangan berniaga ‘nasi lemak malam’

SEJAK dulu saya suka berniaga. Sambil belajar saya buat banyak perniagaan. Selepas tamat pengajian, saya ada membuka kedai dengan rakan dan berniaga nasi lemak. Pada masa itu ia dikenali sebagai ‘nasi lemak malam’. Saya juga pernah membuat penghantaran makanan semasa baru-baru kahwin sehinggalah ada rakan mengajak saya menyertai grup Uniti. Pada awalnya saya menjadi jurujual kerana mereka melihat saya mempunyai karakter boleh menjual. Alhamduillah sampai sekarang saya masih dalam kumpulan sama. Fokus saya memang membangunkan perniagaan.

PKP cetus idea Virtual Halal School

Kolej Uniti yang berpangkalan di Port Dickson, Negeri Sembilan memperkenalkan Virtual Halal School baru-baru ini. Ideanya ringkas sahaja di mana salah satu program yang ditawarkan di Uniti ialah pengurusan industri halal. Uniti merupakan IPT pertama menawarkan program tersebut. Objektif kita ialah mahu melahirkan eksekutif halal kerana soal halal bukan melibatkan aspek syariah semata-mata tetapi juga aspek industri dan pengurusan.

Kita juga dilantik oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2015 untuk menawarkan program eksekutif profesional halal. Sekarang ada dua program halal iaitu Diploma Pengurusan Industri Halal dan Diploma Pengeluaran Produk Halal. Virtual Halal School ini lahir pada bulan Ramadan lalu kerana ketika PKP, pengajaran di dalam kelas tidak dibenarkan. Kita perlu gerakkan sesuatu supaya latihan halal boleh terus berkembang. Jadi timbullah idea untuk melaksanakan satu platform pembelajaran digital. Alhamdulillah sambutannya menggalakkan.

Port Dickson bukan sekadar pantai yang panjang

Port Dickson adalah antara tempat yang sesuai dikunjungi di negara ini ketika kerajaan sedang menggalakkan pelancongan domestik. Saya lama di Port Dickson atas urusan kerja di kampus Uniti di sana. Ia bergantung kepada bagaimana kita melihatnya. Mungkin pada sesetengah orang Port Dickson tidak ada apa-apa tarikan tetapi ia mempunyai kekuatan tersendiri. Pertama kerana lokasi dan pantai yang panjang serta paling dekat dengan Kuala Lumpur. Port Dickson juga menyediakan infrastruktur lengkap bagi menyambut kedatangan pelancong.

Mungkin ada yang akan menyatakan bahawa Port Dickson tidak ada banyak aktiviti lain selain daripada aktiviti laut. Namun saya percaya ia bergantung kepada apa aktiviti yang kita nak lakukan di sana. Port Dickson juga ada lokasi memancing bagi kaki pancing.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!