Ulang tahun ke-25 memperingati penyembelihan Srebrenica

Ratusan mangsa penyembelihan Srebrenica disemadikan di kawasan tanah perkuburan peringatan Potocari. - Foto: AFP
Ratusan mangsa penyembelihan Srebrenica disemadikan di kawasan tanah perkuburan peringatan Potocari. - Foto: AFP
A
A
A
SREBRENICA - Muslim Bosnia semalam memperingati ulang tahun ke-25 penyembelihan Srebrenica yang disifatkan sebagai kekejaman terburuk di tanah Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Jumlah mereka yang menghadiri acara itu yang biasanya disertai puluhan ribu orang pada kali ini jauh lebih rendah kerana langkah lockdown yang masih dilaksanakan bagi membendung penularan koronavirus (Covid-19).

Serpihan tulang milik sembilan lagi mangsa yang dikenal pasti sejak setahun lalu akan disemadikan di tanah perkuburan di Potocari, sebuah perkampungan di luar Srebrenica yang menjadi pangkalan untuk pasukan perlindungan PBB, Forpronu ketika konflik berdarah tersebut.

Kejadian menyayat hati itu berlaku sejurus Bosnia-Herzegovina mengisytiharkan kemerdekaan mereka selepas mengadakan referendum pada 1992.

Pengisytiharan kemerdekaan itu turut diiktiraf Amerika Syarikat dan negara Eropah namun pungutan suara itu diboikot populasi Bosnia Serbia.

Pakar forensik di Bosnia memeriksa serpihan tulang manusia untuk proses mengenal pasti identiti di sebuah makmal di Tuzla. - Foto: AFP
Pakar forensik di Bosnia memeriksa serpihan tulang manusia untuk proses mengenal pasti identiti di sebuah makmal di Tuzla. - Foto: AFP

Sebelum itu, Republik Sosialis Bosnia dan Herzegovina adalah sebahagian daripada Yugoslavia yang merupakan sebuah wilayah berbilang etnik terdiri daripada Muslim Bosniak, Ortodoks Serbia dan Katolik Croatia.

Pada 11 Julai 1995, pasukan keselamatan Serbia yang menawan bandar itu bertindak kejam membunuh lebih 8,000 kanak-kanak dan lelaki di Srebrenica dalam tempoh beberapa hari.

Tragedi yang dilabelkan sebagai pembunuhan ramai-ramai oleh mahkamah antarabangsa berlaku pada akhir peperangan antara etnik Muslim, Croatia dan Serbia yang telah meragut sekurang-kurangnya 100,000 nyawa.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini, mayat hampir 6,900 mangsa sudah ditemui dan dikenal pasti daripada lebih 80 kubur besar.

Pada 2017, ketua tentera era perang Serbia, Ratko Mladic dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah PBB selepas disabit bersalah atas jenayah perang termasuk genosid Srebrenica.

Mladic, 77, kini sedang menunggu keputusan rayuannya.

Seorang lagi pemimpin politik era perang Bosnia Serbia, Radovan Karadzic dikenakan hukuman sama di The Hague.

Serbia terus nafi

Penyembelihan Srebrenica ialah satu-satunya episod konflik Bosnia yang digambarkan sebagai genosid oleh komuniti antarabangsa.

Bagi Muslim Bosnia, skala kekejaman itu bukti untuk mencapai keamanan berpanjangan manakala kebanyakan penduduk dan pemimpin Serbia pula berpendapat istilah genosid kononnya tidak dapat diterima hingga kini.

Menjelang ulang tahun tersebut, Presiden Serbia, Aleksandar Vuric menyifatkan tragedi Srebrenica sebagai 'sesuatu yang tidak wajar dibanggakan', namun beliau tidak pernah menggunakan istilah genosid secara terbuka.

Ketika ini, ribuan penduduk Muslim dan Serbia tinggal di bandar tidak bernyawa Srebrenica di timur Bosnia yang hanya terdapat beberapa kedai.

Beberapa wanita membantu artis Bosnia, Aida Sehovic menyiapkan hasil seni terdiri daripada 8,000 cawan kopi digelar 'Why Aren't You Here' sebagai simbol memperingati 8,000 Muslim yang menjadi mangsa pembunuhan kejam pada 1995. - Foto: AFP
Beberapa wanita membantu artis Bosnia, Aida Sehovic menyiapkan hasil seni terdiri daripada 8,000 cawan kopi digelar 'Why Aren't You Here' sebagai simbol memperingati 8,000 Muslim yang menjadi mangsa pembunuhan kejam pada 1995. - Foto: AFP

Kelmarin, Datuk Bandar Serbia, Mladen Grujicic yang dilantik pada 2016 selepas kempen penolakan genosid berkata, terdapat bukti baharu pada setiap hari yang menafikan perkara sebenar yang telah berlaku.

Pemimpin politik Bosnia Serbia, Milorad Dodik juga sewenang-wenangnya menggelar penyembelihan ribuan orang Islam itu sebagai 'cerita mitos'.

Bagaimanapun, anggota Muslim daripada presiden bersama Bosnia, Sefik Dzaferovic menegaskan mereka tidak akan berhenti untuk mencari kebenaran dan mengheret kesemua individu yang terlibat ke muka pengadilan.

"Kami akan berjuang menentang mereka yang menafikan pembunuhan beramai-ramai ke atas orang Islam itu dan pihak yang menyanjung pelakunya," katanya ketika menghadiri acara untuk memperingati mangsa genosid tersebut.

Bekas Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan menyatakan tragedi Srebrenica akan menghantui sejarah agensi antarabangsa itu buat selama-lamanya berikutan tindakan pasukan pengaman mereka yang hanya berdiam diri tentang insiden tidak berperikemanusiaan tersebut. - AFP