X

Kindly register in order to view this article
!

Azmin, jangan buat dasar sendiri, kata Noh

Noh (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan Perkeso kepada seorang penerima di Kampung Parit 4 Ban 3, Tanjong Karang semalam.
A
A

TANJONG KARANG - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diingatkan supaya tidak membuat sebarang dasar bersendirian membelakangkan persefahaman yang telah dibuat kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau hairan dengan sikap Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan kerana tidak mengundang Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor daripada UMNO, Pas dan Bersatu dalam mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Negeri Selangor.

Sebaliknya, katanya, Mohamed Azmin pula mengundang Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari daripada Pakatan Harapan (PH) dalam mesyuarat berkenaan.

"Saya hairan bagaimana Menteri Besar yang gelarannya Yang Amat Berhormat menghadiri MTPNg Negeri Selangor dipengerusikan oleh Yang Berhormat (Mohamed Azmin).

"Saya keliru, sama ada Mohamed Azmin berasa dia masih Menteri Besar Selangor atau Amirudin berasa dia masih Exco?" katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada seorang penduduk di Kampung Parit 4 Ban 3 di sini semalam.

Noh yang pernah memegang jawatan itu selama dua penggal berkata, kerajaan Persekutuan menubuhkan MTPNg sebagai agensi pelaksana pembangunan di negeri-negeri pembangkang yang menjadi platform bagi wakil rakyat daripada parti kerajaan Persekutuan untuk terlibat dalam pembangunan negeri.

"Kami wakil rakyat kerajaan Persekutuan juga ingin memberikan sumbangan dan membela rakyat di negeri ini," katanya.

Tegas Noh, tindakan Mohamed Azmin itu mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan wakil rakyat pembangkang di Selangor dan kemarahan kepada rakyat di negeri ini.

"Kita kena ingat bahawa beliau dilantik sebagai menteri hari ini kerana sokongan dari semua parti dalam PN.

"Sepatutnya apabila membuat mesyuarat di negeri Selangor, Mohamed Azmin mestilah mengikut apa yang dibuat negeri pembangkang lain seperti di Sabah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus