X

Kindly register in order to view this article
!

NFDP terima sentuhan personaliti sukan

REEZAL MERICAN
A
A

PROGRAM Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dijangka menerima sentuhan baharu daripada beberapa personaliti sukan, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata, antara penambahbaikan yang bakal dibawa itu adalah usaha memastikan program itu diurus oleh individu berkelayakan serta mempunyai semangat tinggi terhadap program pembangunan.

“Insya-ALLAH bulan ini saya akan buat mesyuarat NFDP yang pertama bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Daripada situ kita akan buat perhitungan dan akan ada satu atau dua perubahan...akan ada personaliti yang saya akan ambil untuk pastikan mereka yang benar-benar ada minat berada dalam NFDP.

“Saya bukan tahu segalanya tetapi saya perlukan semua orang yang mempunyai pengetahuan untuk dapat membantu saya,” katanya ketika ditemui di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya hari ini.

Disember lepas, struktur NFDP dikemaskan dengan pelantikan bekas ketua jurulatih Akademi Bola Sepak Remaja Paris Saint Germain (PSG), Saad Ichalalene sebagai Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara.

Struktur diperkemaskan itu turut menyaksikan pelantikan Dennis Bekking sebagai Pengarah Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) menggantikan bekas Pengarah Akademi Bayern Munich, Lim Teong Kim selain pelantikan Abdifitaah Mohamed Hassan (Ketua Pencarian Bakat dan Metodologi Kejurulatihan) dan Aminuddin Hussain sebagai Ketua Pembangunan Remaja.

Sementara itu, Reezal Merican berkata prestasi skuad Bawah 18 Tahun (B-18) negara pada Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan akan menjadi satu daripada asas penilaian kepada keberkesanan NFDP.

“Prestasi skuad B-18 akan menjadi kayu ukur memandangkan ramai pelatih daripada NFDP berada dalam skuad B-18. Sekurang-kurangnya ia akan memberi peluang saya membuat penilaian untuk merencana program di bawah NFDP,” katanya.

Kejuaraan B-19 AFC 2020 yang dijadual berlangsung dari 14 hingga 31 Okt ini menjadi medan kelayakan ke Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2021 dan skuad B-18 negara menyasarkan muncul pasukan Malaysia pertama layak secara merit beraksi di pentas Piala Dunia.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama bekas juara, Qatar, selain negara yang sedang meningkat, Tajikistan dan Yaman. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus