'PATI anggap nasib mereka terbela jika ditangkap'

Abdul Hamid pada sidang media di Bukit Aman, Kuala lumpur hari ini.
Foto: Bernama
Abdul Hamid pada sidang media di Bukit Aman, Kuala lumpur hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan kebanyakan warga asing yang cuba menceroboh masuk ke negara ini secara haram sememangnya sudah bersedia untuk ditangkap pihak berkuasa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pendatang asing tanpa izin (PATI) itu beranggapan nasib mereka akan lebih terbela sekiranya ditangkap.

"Mereka telah bersedia dari segi psikologi bahawa mereka akan ditangkap. Mereka tahu mereka akan terbela dengan diberi makan dan sebagainya ketika dalam tahanan.

"Kita tanggung makan minum mereka guna barang subsidi kita. Kita masih berhati perut, tapi sampai bila boleh bertahan macam ini," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu pendaratan seramai 269 PATI Rohingya di perairan Pulau Langkawi pada 8 Jun lalu.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata, warga asing dikesan masuk secara beramai-ramai ke Malaysia dengan menjadikan Langkawi atau sekitar pesisiran pantai Semenanjung Malaysia sebagai tempat mendarat.

Beliau berkata, siasatan mendapati wujud sindiket yang membekalkan makanan setiap hari kepada ribuan PATI yang cuba masuk ke dalam negara menggunakan kapal.

"Ada ahli sindiket yang memberi isyarat bilakah mereka boleh masuk. Mereka anggap Malaysia ibarat syurga untuk bawa masuk warga mereka yang tercicir.

Artikel Berkaitan:

"Sindiket pula ambil peluang ini untuk kaut untung. Maklumat ini kita dapat melalui satu sindiket yang mana kita percaya terlibat bawa masuk warga Rohingya daripada sebelah utara Semenanjung Malaysia," katanya.