Baju bayi hadiah terakhir sebelum 'pergi'

Nur Ismalinda Muzafar
Nur Ismalinda Muzafar
A
A
A

HULU TERENGGANU - "Beberapa jam sebelum pemergiannya, dia ada belikan baju bayi sulung kami yang dijangka lahir pada 16 September ini," kata isteri kepada salah seorang daripada empat mangsa yang terkorban dalam kemalangan di Kilometer (KM) 42, Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi (Aring), Kuala Berang di sini semalam.

Nur Ismalinda Muzafar, 25, isteri kepada mangsa, Wan Ahmad Adam Murshidy Wan Rosli, 24, berkata, dia tidak menyangka baju bayi itu menjadi hadiah terakhir suaminya untuk anak sulung mereka.

"Tengah hari semalam, saya bersama suami ada keluar dan masa berada di sebuah kedai, arwah suami nampak baju yang cantik dan bagi tahu nak belikan untuk anak kami.

"Memang tak syak apa-apa bila arwah cakap nak beli baju itu, rupa-rupanya itu hadiah terakhirnya," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini hari ini.

Menurut Nur Ismalinda, arwah suami bersama abangnya, Noriskandar Muzafar, 33, serta tiga lagi rakan bergerak ke Perak kira-kira jam 4 petang semalam atas urusan kerja.

"Saya sempat salam dan arwah gosok kepala serta perut saya tetapi kelakuan itu sudah menjadi perkara biasa, cuma semalam nampak arwah ceria dan gembira.

"Arwah suami dan abang (Noriskandar) memang rapat cuma mereka nampak lebih akrab dan selalu bersama dalam minggu ini," katanya.

Nur Ismalinda berkata, mesej terakhir suami diterimanya pada jam 4.30 petang yang mengingatkannya untuk memberi kucing makan.

Artikel Berkaitan:

"Saya ada mesej suami melalui WhatsApp pada 7.30 malam, namun tiada jawapan dan tidak syak apa-apa.

"Saya tahu mengenai kemalangan itu selepas dihubungi polis kira-kira jam 11 malam memaklumkan suami sudah tiada," katanya yang tinggal di Kuala Nerus.

Katanya, kedua-dua jenazah masing-masing dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kuala Nerus dan Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu.

Dalam kejadian petang semalam, tiga maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 42, Jalan Kuala Jeneris - Sungai Gawi (Aring) Kuala Berang di sini.

Kemalangan pada jam 7.30 petang itu membabitkan sebuah lori treler membawa muatan bijih besi amang dan sebuah kereta Toyota Vios dinaiki lima lelaki.

Mereka yang maut adalah pemandu Toyota Vios, Noriskandar Muzafar, 33, penumpang hadapan, Wan Ahmad Adam Murshidy Wan Rosli, 24, dan penumpang belakang, Zulkarnain Buniyami, 18.

Selepas hampir 15 jam bertarung nyawa, seorang penumpang kereta Toyota Vios yang parah meninggal dunia pagi tadi.

Afif Safwan Mohd Zuki, 21, dari Kampung Banggol Tok Jiring di sini disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10.17 pagi ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga maut, dua parah kereta bertembung treler

Mangsa parah meninggal selepas hampir 15 jam bertarung nyawa