X

Kindly register in order to view this article
!

Mangsa parah meninggal selepas hampir 15 jam bertarung nyawa

Keadaan mangsa, Mohamad Rusydi yang dilaporkan stabil dan kini sedang di rawat di ICU HSNZ. Foto: Ihsan keluarga
A
A

KUALA TERENGGANU - Selepas hampir 15 jam bertarung nyawa, seorang penumpang kereta Toyota Vios yang parah akibat kemalangan di Kilometer (KM) 42, Jalan Kuala Jeneris- Sungai Gawi (Aring), Hulu Terengganu meninggal dunia pagi tadi.

Afif Safwan Mohd Zuki, 21, dari Kampung Banggol Tok Jiring, di sini disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10.17 pagi ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang membabitkan dua buah kenderaan iaitu kereta dinaiki mangsa bersama empat lagi rakannya dan sebuah lori treler membawa muatan bijih besi amang.

Kemalangan turut meragut tiga rakan mangsa yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sementara mangsa dan seorang lagi rakannya parah dan dirawat di wad ICU HSNZ, di sini.

Mereka yang maut dikenali sebagai pemandu Toyota Vios, Noriskandar Muzafar, 33; penumpang hadapan, Wan Ahmad Adam Murshidy Wan Rosli, 24, dan penumpang belakang, Zulkarnain Buniyami, 18.

Mangsa dan rakannya, Mohamad Rusydi Md Said, 26, cedera parah manakala pemandu treler berusia 24 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, Afif Safwan yang disahkan meninggal dunia akibat parah pada anggota badan menjadikan empat mangsa maut dalam tragedi tersebut dan seorang lagi parah.

Sementara itu, Radzali Md Said, 33, mengagak adiknya Mohamad Rusydi bersama empat rakan pergi ke Kuantan, Pahang tetapi kejadian berlaku di jalan ke arah Perak.

Katanya, dia yang tinggal di Kajang, Selangor hanya mengetahui tragedi menimpa adik dan rakan-rakannya selepas dihubungi ibu, Hasnah Tan, 64, kira-kira jam 1 pagi tadi.

"Ibu memaklumkan adik dan kawan-kawan terlibat kemalangan selepas dihubungi ahli keluarga arwah Noriskandar (pemandu kereta) kerana kami juga mengenali keluarganya.

"Sejurus itu, saya terus bergegas ke Terengganu dan sampai di sini (HSNZ), kira-kira jam 8 pagi tadi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau yang juga anak keenam daripada sembilan beradik berkata, adiknya yang kini sedang dirawat di wad ICU HSNZ berada dalam keadaan stabil dan dimaklumkan hanya mengalami kecederaan luar sahaja.

Katanya, ketika kejadian Mohamad Rusydi masih boleh memberi kerjasama kepada anggota polis bertugas dengan memberi maklumat dirinya kerana kad pengenalannya gagal ditemui di lokasi.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga maut, dua parah kereta bertembung treler

Sebelum ini, media melaporkan tiga maut manakala dua parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Toyota Vios yang bertembung sebuah lori treler membawa muatan bijih besi amang.

Siasatan awal mendapati Toyota Vios dinaiki lima lelaki dalam perjalanan dari arah Bera, Pahang menghala ke Perak, bagaimanapun, sebaik sampai di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa berusia 33 tahun dikatakan melanggar lopak air.

Kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan lori treler yang dalam perjalanan dari arah Gua Musang, Kelantan menghala ke Palabuhan Gebeng, Kuantan, Pahang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus