Juhari calon Speaker baharu DUN Kedah

Halimaton Saadiah (kanan) menyantuni ahli Srikandi pada sesi ramah mesra bersama Srikandi Bersatu Bahagian Kubang Pasu di Kelab Golf Darulaman, Alor Setar hari ini. (Gambar kecil: Juhari Bulat, Norsabrina Mohd Noor)
Halimaton Saadiah (kanan) menyantuni ahli Srikandi pada sesi ramah mesra bersama Srikandi Bersatu Bahagian Kubang Pasu di Kelab Golf Darulaman, Alor Setar hari ini. (Gambar kecil: Juhari Bulat, Norsabrina Mohd Noor)
A
A
A

JITRA - Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Juhari Bulat akan dicalonkan sebagai Speaker DUN yang baharu pada Sidang DUN Kedah yang dijadualkan berlangsung 16 Ogos depan.

Exco Kerajaan Negeri, Halimaton Saadiah Saad berkata, cadangan berkenaan telah mendapat persetujuan daripada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) negeri menerusi mesyuarat yang diadakan bersama Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, pencalonan Juhari yang merupakan ADUN Ayer Hangat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu bagi menggantikan Speaker DUN ketika ini iaitu Datuk Ahmad Kassim.

Ahmad merupakan bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah dan kini Pengerusi Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Dalam perbincangan itu juga ada menyebut ADUN Bandar Baharu, Datuk Norsabrina daripada Barisan Nasional (BN) dicalonkan sebagai Timbalan Speaker bagi mengisi kekosongan yang akan ditinggalkan Juhari.

"Ini adalah perancangan cadangan nama. Pengiktirafan (pengesahan) akan dibuat pada Sidang DUN nanti," katanya kepada media selepas sesi ramah mesra bersama Srikandi Bersatu Bahagian Kubang Pasu di Kelab Golf Darulaman di sini hari ini.

Juhari menyandang jawatan Timbalan Speaker DUN Kedah bermula 4 Julai 2018 ketika era pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Halimaton Saadiah yang juga Ketua Srikandi Bersatu Kedah berkata, pihaknya sudah siap sedia menghadapi PRU15 yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, beberapa program dan kursus turut diatur untuk memperkasakan parti dan memberi fokus kepada gerakan PRU15.

"Srikandi juga aktif menjalinkan kerjasama dengan gabungan Pergerakan Wanita UMNO dan Dewan Muslimat Pas yang mana pertemuan dengan mereka berlangsung dari semasa ke semasa.

"Saya sendiri turut menerima kunjungan daripada Muslimat Pas pusat dan Insya-ALLAH dalam masa terdekat, kunjungan daripada Wanita UMNO pula akan menyusul," katanya.

Beliau berkata, Srikandi Bersatu tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan parti gabungan dalam PN.