X

Kindly register in order to view this article
!

Sindiket Macau Scam perdaya warga emas 90 tahun tumpas

Nik Ezanee Mohd Faisal
A
A

PETALING JAYA - Kegiatan sekumpulan penjenayah Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan pejabat pos dan polis tumpas selepas lapan lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 43 tahun diberkas dalam operasi di sekitar Lembah Klang pada 1 dan 2 Julai lalu.

Kumpulan berkenaan dikatakan memperdaya seorang wanita warga emas berusia 90 tahun hingga mengalami kerugian mencecah RM3.83 juta.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, siasatan mendapati tiga daripada mereka ialah pemilik akaun.

Beliau berkata, polis percaya modus operandi sindiket berkenaan tertumpu kepada golongan warga emas atau individu yang kurang pendedahan mengenai maklumat terkini jenayah siber.

"Siasatan masih dijalankan untuk mengesan penglibatan suspek lain yang masih bebas," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hari ini.

Nik Ezanee berkata, kesemua suspek telah ditahan reman untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Justeru, orang ramai dinasihatkan lebih berwaspada supaya tidak mudah panik jika menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa sebagai pihak berkuasa.

Terdahulu, pada 30 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan mangsa seorang pesara telah menerima panggilan pada 13 April daripada individu tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan pejabat pos Malaysia.

Suspek mendakwa terdapat bungkusan yang dihantar dari Ipoh, Perak ke Sabah mengandungi kad pengenalan dan kad ATM mangsa namun mangsa menafikan dakwaan terbabit.

Suspek kemudian telah 'memindahkan' panggilan tersebut kepada seorang lagi suspek yang kononnya pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram.

Disebabkan takut, mangsa telah membuat pemindahan wang berjumlah RM3.83 juta ke atas tujuh akaun syarikat berbeza sebelum menyedari dirinya tertipu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf