X

Kindly register in order to view this article
!

Azmeer tamatkan kontrak dengan KFA

Azmeer Yusof - Foto: Media KFA
A
A

Pemain pertahanan, Azmeer Yusof mengambil keputusan menamatkan kontrak lebih awal dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bagi memberi tumpuan kepada perniagaan yang diusahakannya di Kedah dan Kuala Lumpur.

Pemain berusia 30 tahun itu memaklumkan beliau mahu memberi fokus terhadap perniagaan seluar sukan dan syarikat pembersihan sampah di Kuala Lumpur, selain kedai gunting rambut yang diberi nama AY Barber Shop di Alor Setar yang dimulakan sejak awal tahun ini.

Beliau turut memaklumkan kesibukan menguruskan pembinaan Pusat Pengajian Islam Azmeer Yusof di Alor Setar, turut menjadi faktor utama beliau menamatkan kontrak lebih awal dengan KFA yang sepatutnya berakhir pada penghujung tahun ini.

“Proses pembinaan pusat pengajian berkenaan termasuk pengambilalihan tanah memerlukan saya kerap turun ke tempat tersebut, dan itu antara punca utama saya mengambil keputusan menamatkan kontrak lebih awal dengan KFA.Tiada masalah bayaran gaji dan sebagainya (dengan KFA),” katanya kepada hari ini.

KFA menerusi hantaran terbaharu dalam laman Facebooknya hari ini memaklumkan kedua-dua pihak mencapai kata putus untuk penamatan kontrak lebih awal selepas mendapat permintaan daripada pemain itu sendiri.

Dalam pada itu, Azmeer tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan cadangan kembali ke saingan bola sepak tempatan sekiranya ketiga-tiga perniagaan berkenaan, diuruskan dengan baik oleh ahli keluarga serta pekerjanya.

“Sekiranya kesemua perniagaan berkenaan memerlukan saya untuk selalu turun padang, mungkin saya akan bersara terus daripada arena bola sepak. Sekiranya ada tawaran untuk pengurusan pasukan, mungkin saya akan pertimbangkan namun bukan sebagai pemain atau jurulatih,” jelas Azmeer.

Ditanya mengenai pencapaian cemerlang sejak bergelar pemain profesional pada 2009, Azmeer berkata, kejayaan menjulang Piala Malaysia pada 2016 dan trofi Piala FA pada musim lepas bersama Kedah merupakan antara detik manis yang tidak akan dilupakannya.

“Saya berterima kasih kepada jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah yang berjaya mengesan bakat saya sebelum beliau mengambil keputusan meminjamkan khidmat saya daripada pasukan Pos Malaysia FC ke Negeri Sembilan pada 2012, sekali gus berjaya menaikkan nama saya dalam arena bola sepak tempatan,” jelasnya.

Azmeer memulakan karier profesional bersama Proton FC pada 2009 sebelum berhijrah ke beberapa pasukan termasuk Perak, Angkatan Tentera Malaysia, Kedah dan Kuala Lumpur.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus