DAP pecat tiga ahli, lapan lagi terima surat tunjuk sebab

DAP pecat tiga ahlinya serta-merta manakala lapan lagi diberi surat tunjuk sebab kerana memberi ‘sokongan’ kepada wakil rakyat parti itu yang ‘melompat’ ke parti lain.
DAP pecat tiga ahlinya serta-merta manakala lapan lagi diberi surat tunjuk sebab kerana memberi ‘sokongan’ kepada wakil rakyat parti itu yang ‘melompat’ ke parti lain.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga ahli DAP dipecat serta-merta daripada parti manakala lapan lagi diberi surat tunjuk sebab kerana memberi ‘sokongan’ kepada wakil rakyat parti itu yang ‘melompat’ ke parti lain.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Chong Chieng Jen berkata, ketiga-tiga ahli berkenaan iaitu Kong Lai Ling, Ng Sook Whye dan Khi Poh Chong didapati aktif membantu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang telah dipecat sebelum ini selepas mengumumkan keluar parti dan memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

“Jawatankuasa ini telah memberi amaran kepada ahli-ahli sebelum ini supaya tidak lagi bersama dengan wakil-wakil rakyat yang telah lompat parti atau dipecat. Lai Ling juga telah menerima jawatan sebagai Ahli Majlis Daerah Batu Gajah di bawah kerajaan PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Chieng Jen, mereka bertiga juga sebelum ini terlibat dalam counter protest di Pusat Khidmat Paul terhadap bantahan lompat parti oleh akar umbi DAP yang lain.

Sementara itu, mengenai lapan ahli yang diberi surat tunjuk sebab, Chieng Jen berkata, kesemua mereka telah dikenal pasti hadir pada sidang akhbar pengumuman kemasukan ADUN Buntong, A Sivasuramaniam ke Parti Gerakan pada 26 Jun lepas.

Mereka ialah Dan Adriel Daniel Velloo, Angeline Phillip Joe Phillip, P Murugiah, Joseph Hendry Kovil Pillai John, Amir Abdullah, R Marimutu, S Theivanai dan William John Johin Bin.

Katanya, jawatankuasa itu juga telah memutuskan untuk menghentikan keanggotaan Loh Eng Soon selama setahun kerana didapati sengaja memfitnah dan memburukkan nama pimpinan negeri melalui akaun Facebooknya.

"Jawatankuasa Disiplin sekali lagi menegaskan bahawa jawatankuasa ini tidak akan bertoleransi dengan mana-mana ahli yang menerima jawatan dengan kerajaan PN, atau masih bersama-sama atau membantu ahli-ahli wakil rakyat yang telah mengkhianati perjuangan parti.

Artikel Berkaitan:

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya jawatankuasa ini menerima aduan,” katanya. - Bernama