X

Kindly register in order to view this article
!

Khairuddin umum keluar Pakatan Harapan

KHAIRUDDIN
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) semalam dan meletakkan jawatan serta-merta.

Beliau juga menegaskan tidak akan berjuang untuk menobatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kesembilan seperti yang diumumkan PH.

Menurutnya, bangsa Melayu harus menolak Anwar daripada menjadi pemimpin dan jangan sama sekali membiarkan diri ditipu serta tertipu lagi.

"Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih serta penghargaan kepada Presiden dan kepimpinan tertinggi Parti Amanah Negara (Amanah) yang meletakkan kepercayaan kepada saya untuk bertanding di Parlimen Jasin pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Dalam masa terdekat, saya akan berjumpa dengan Presiden Amanah untuk menzahirkan keputusan meletakkan jawatan selaku Penyelaras Parlimen Jasin berkuat kuasa serta-merta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Majlis Presiden PH komited kepada pendirian asal untuk mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya mereka kembali membentuk kerajaan.

Majlis Presiden PH turut memberikan mandat penuh kepada Anwar untuk meneruskan perbincangan dengan semua pihak, termasuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam usaha mengembalikan mandat rakyat dan PH sebagai kerajaan Persekutuan.

Khairuddin berkata, keputusan itu dibuat kerana terpaksa berpegang kepada prinsip sama sekali tidak akan bernaung di bawah kepimpinan PH yang kini dipengerusikan Anwar.

"Kini, saya ingin lihat berapa jauh PH boleh pergi di bawah kepimpinan Anwar. Hakikatnya, beliau tidak lagi relevan dalam landskap politik negara.

"Rakyat akan mengetahui secara lebih jelas siapa Anwar yang sebenarnya," katanya.

Dalam masa yang sama, Khairuddin turut menyeru kepada semua pemimpin PH untuk meninggalkan PH secara beramai-ramai.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf