Lelaki ditahan disyaki bakar bendera Pakatan Harapan

Hussein Omar Khan
Hussein Omar Khan
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki membakar bendera Pakatan Harapan dan merosakkan gegantung di Taman Damai, Batu Arang, Gombak, pada Ahad.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

"Polis Selangor menerima 67 laporan dan membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 435 akta sama berkaitan pilihan raya negeri (PRN), pada Ahad," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Hussein berkata, sebanyak 65 laporan polis diklasifikasikan sebagai NOD (no offence diclosed) iaitu laporan polis yang dibuat tidak ada berlakunya apa-apa kesalahan dan tangkapan.

"Laporan itu dibuat oleh pasukan Ops Cantas yang melakukan pemeriksaan di beberapa lokasi Ops Cantas PRN Selangor," katanya.

Beliau berkata berkata, pihaknya mendapati tiga kempen dijalankan tanpa permit.

"Setakat Ahad, 276 kempen dan 105 ceramah dijalankan dengan memiliki permit," katanya.

Menurutnya, semua calon parti serta penganjur hendaklah memastikan tidak menyentuh isu-isu sensitif dan fitnah ketika ceramah diadakan.

"Di samping itu juga tidak menaik turun di dalam media sosial seperti TikTok dan sebagainya yang boleh mendatangkan provokasi terhadap parti lain.

"Kes boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu membabitkan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian," katanya.