Muhammad Amirul Asyraf jalani intervensi

Burhanuddin
Burhanuddin
A
A
A

MELAKA - Anak bongsu kepada pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah- Jasin (AMJ) berhampiran Serkam, di sini, malam kelmarin berada dalam keadaan stabil.

Namun begitu, Muhammad Amirul Asyraf Mohd Fairuz, 3, kelihatan sedikit trauma apabila dikelilingi ramai orang.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Burhanuddin Bachik berkata, pihaknya sudah menjalankan intervensi ke atas kanak-kanak berkenaan hari ini yang dijalankan oleh pegawai psikologi jabatan itu.

Jelas beliau, kanak-kanak itu kini yang masih ditahan di wad kanak-kanak Hospital Melaka, berada di bawah jagaan nenek dan datuknya.

Manakala, kakaknya Nurul Fatiha Adelia, 7, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.

"Ketika intervensi dilakukan kanak-kanak itu dilihat stabil selain boleh bermain, ketawa dan tersenyum.

"Bagaimanapun, menurut datuk serta neneknya, kanak-kanak itu agak takut bila dikelilingi ramai orang dan akan bertindak memeluk neneknya," katanya ketika dihubungi.

[ARTIKEL BERKAITAN:Tiga maut, kereta bertembung di Lebuh AMJ]

Artikel Berkaitan:

Burhanuddin berkata, pihaknya turut dimaklumkan, datuk dan nenek kanak-kanak itu akan tinggal sementara di rumah arwah di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam, sehingga Nurul Fatiha kembali pulih.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, Ahad lalu, bapa kepada Muhammad Amirul Asyraf, Mohd Fairuz Haron, 34, dan ibunya Eziani Abu Bakar, 34, yang sarat mengandung tujuh bulan, maut selepas kereta yang dipandu Mohd Fairuz terlibat dalam kemalangan di Lebuh AMJ berhampiran Serkam, di sini.

Kejadian berpunca apabila kereta jenis Proton Saga BLM dinaiki mereka sekeluarga dari arah Muar bertembung dengan sebuah kereta Perodua Myvi yang hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Di dalam kemalangan itu, Muhammad Amirul Asyraf, cuma mengalami cedera ringan manakala kakaknya, Nurul Fatiha Adelia, 7, terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka ekoran kecederaan dalaman.

Sementara pemandu Myvi, Lee Boon Yong, 22, turut maut di tempat kejadian manakala penumpang kereta itu, Siah Shi Yang, 21, terselamat dan mengalami kecederaan ringan.