X

Kindly register in order to view this article
!

RTM sedia teruskan TV Pendidikan selepas sekolah dibuka

Saifuddin
A
A

KUANTAN - Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersedia meneruskan program televisyen pendidikan (TV Pendidikan) walaupun selepas sesi persekolahan dibuka semula, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, perkara itu bagaimanapun perlu diputuskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana RTM hanya menyediakan platform menerusi siaran TV Okey selama dua jam setiap hari mulai 6 April lalu selepas sesi persekolahan terpaksa dihentikan susulan pandemik Covid-19.

"Walaupun sesi persekolahan dibuka, idea tentang TV Pendidikan itu akan tetap diteruskan kerana walaupun sekolah telah dibuka yang saya faham keperluan siaran pendidikan itu masih wujud. Malah selama ini sebelum Covid-19, idea menubuhkan siaran itu sudah ada," katanya pada sidang akhbar selepas pembentangan Kad Laporan Ahli Parlimen Indera Mahkota bagi tahun 2019 hingga 2020 di sini hari ini.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan KPM sebelum ini bekerjasama dalam program TV Pendidikan bagi membolehkan murid mendapat akses kepada bahan pembelajaran selain pembelajaran secara dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa pada 18 Mac lalu.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin pada 1 Julai lalu mengumumkan sesi persekolahan akan dibuka secara berperingkat mulai 15 Julai bagi semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

Berhubung laporan prestasinya, Saifuddin berkata, 50 peratus atau RM1.9 juta daripada RM3.8 juta peruntukan sebagai ahli Parlimen beliau digunakan untuk pembangunan prasarana projek mesra rakyat diikuti RM1.15 juta untuk belanja mengurus program dan aktiviti manakala baki RM0.75 juta untuk kebajikan serta bencana.

Beliau berkata, antara projek mesra rakyat yang telah dilaksanakan ialah baik pulih permukaan jalan di lima lokasi, baik pulih dan naik taraf kemudahan seperti balai raya, pusat hentian nelayan, sekolah dan gelanggang sukan serta kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan.

Selain itu, ia melibatkan projek khas menaik taraf kemudahan awam di Taman Bandar di sini, membaik pulih eskalator di Terminal Sentral Kuantan dan pemasangan pam di Loji Rawatan Air Semambu.

Saifuddin juga memaklumkan bahawa tender bagi menaik taraf Jalan Bukit Pengorak dengan kos RM250 juta akan dibuka tidak lama lagi manakala kerja-kerja melibatkan laluan Jalan Sungai Ular ke Chendor dijangka dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12.

"Kita juga telah membelanjakan RM450,000 untuk bantuan berkaitan wabak Covid-19 melibatkan lebih 4,000 penerima seperti pemberian bakul barangan dapur, susu dan lampin pakai buang, pelitup separuh muka dan cecair pembasmi kuman serta bungkusan makanan kepada petugas barisan hadapan.

"Kita juga telah membelanjakan RM300,000 untuk pembelian katil hospital dan kerusi roda untuk mereka yang layak menerimanya selain melakukan baik pulih 13 buah rumah dan memberi bantuan tunai kepada 1,040 penerima," katanya.

Bagi belanja mengurus pula, Saifuddin berkata ia melibatkan pelaksanaan program atau aktiviti yang antara penerimanya ialah 16 sekolah menengah, 30 sekolah rendah, lima pusat tahfiz berdaftar, 40 masjid dan surau, empat kuil dan tokong, 15 badan bukan kerajaan serta 73 persatuan.

Selain itu, peruntukan telah disalurkan bagi memperkasakan pendidikan di Indera Mahkota seperti program kecemerlangan, meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, membiayai latihan persediaan sekolah yang menyertai pertandingan robotik dan F1 in School di peringkat antarabangsa.

Untuk tempoh sehingga Mei tahun depan, Saifuddin berkata, antara program yang bakal dilaksana ialah memperkasakan program ‘IMFutures’ bagi melahirkan generasi muda yang mahir dalam bidang kecerdasan buatan, memperkenalkan program pembangunan insan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi atau Pusat e-Dakwah serta mewujudkan pusat seni budaya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus