Panggung wayang asing tempat duduk lelaki, wanita bukan mahram

KUALA TERENGGANU - Lotus Five Star Cinemas (LFS) Kuala Terengganu yang beroperasi di Paya Bunga (PB) Square di sini melaksanakan zon pengasingan tempat duduk bagi lelaki, wanita dan keluarga bermula kelmarin.
Pengurus LFS Kuala Terengganu, Mohd Zulmajdi Razali berkata, pelaksanaan peraturan baharu itu dikuatkuasakan mengikut Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu.
Beliau berkata, pihaknya menerima arahan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memperkenal dan melaksanakan peraturan baharu itu kepada semua pelanggan yang berkunjung ke tempat berkenaan.
“Pelaksanaan peraturan baharu ini akan dikuatkuasakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi memastikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan mengikut syariat Islam atau patuh syariah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.