X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan hilang fokus!

Ong Kim Swee
A
A

KETUA Unit Belia Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee mahu penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin memberi fokus terhadap kariernya sebaik sahaja berkelana ke Belgium.

Menurutnya, Luqman Hakim harus mengekalkan semangat tinggi sepertimana yang menjadi keazamannya apabila membuat keputusan untuk menyertai kelab KV Kortrijk.

“Apa yang penting adalah kita semua harus membantu Luqman Hakim. Sekarang dia telah membuat keputusan beraksi di luar negara dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) juga telah mencapai persetujuan dengan kelab KV Kortrijk.

“Saya harap Luqman Hakim kekal dengan semangatnya sebelum ini apabila beraksi di Belgium nanti dan bukannya bersifat sementara. Dia harus fokus dengan tugasnya sebagai pemain profesional,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.

Kim Swee berkata, dalam usia yang masih muda, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu sememangnya memerlukan bimbingan dan dorongan bagi mengembangkan kariernya terutama di peringkat antarabangsa.

“Sebelum ini banyak yang saya dah baca tentang berita Luqman Hakim. Sekejap pergi, sekejap tak pergi, pihak itu buat kenyataan, pihak sana buat kenyataan dan sebagainya.

“Bagi saya, perpindahan Luqman Hakim ke Belgium tak perlulah disensasikan kerana jika kita mahu dia berjaya, kita perlu berikan galakan agar dia sentiasa memperbaiki prestasinya dari masa ke masa.

“Jika kita terus meletakkan sasaran, ia tidak akan membantu dari segi prestasi, psikologi, mental Luqman Hakim jika terlalu banyak tekanan yang diberikan kepadanya,” jelas bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu.

Kim Swee memberitahu, jika terlalu banyak tekanan diberikan kepada Luqman Hakim, ia berkemungkinan besar akan memberikan kesan negatif kepada prestasi pemain berusia 18 tahun itu.

“Jadi paling penting kita bantu dan bimbing Luqman Hakim untuk terus berjaya dalam sukan bola sepak. Dia boleh dianggap aset masa depan skuad kebangsaan,” jelasnya yang pernah membimbing Luqman Hakim ketika menerajui skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara pada Sukan SEA 2019 di Filipina.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!