Warga emas maut bertembung motosikal

Oramg ramai menutup mayat mangsa dengan kain.
A
A

GUA MUSANG - Seorang warga emas maut dalam satu kemalangan di Kilometer 43, Jalan Gua Musang - Kuala Krai, berhampiran stesen minyak, di sini.

Mangsa, Yusuf Hassan, 76, dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 1, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Mohd Taufik Maidin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.05 pagi itu melibatkan dua buah motosikal dari arah Kuala Krai ke Gua Musang.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5, dalam perjalanan dari rumahnya.

"Tiba di lokasi kejadian, mangsa bertindak memotong laluan sebuah motosikal lain untuk membelok ke arah simpang kanan.

"Bagaimanapun, pemandu motosikal jenis Yamaha FZ150, Muhammad Amirul Aiman Yahya Lotfi, 24, beralamat di Tumpat, Kelantan tidak dapat mengelak lalu berlaku pelanggaran," katanya.

Tambah Mohd Taufik, mangsa tercampak dari motosikalnya dan mengalami kecederaan parah di kepala manakala Muhammad Amirul mengalami patah tangan kanan.

"Mangsa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Chiku 3, manakala jenazah dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk proses bedah siasat.

"Muhammad Aiman dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk urusan konvokesyen di Universiti Sains Islam Malaysia.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.