X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga mangsa bot karam dipercayai dihanyut arus

Anggota Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Kelantan melakukan selaman untuk mencari mangsa bot karam yang masih hilang di Muara Kuala Kemasin hari ini. Bot yang dinaiki 20 pemancing termasuk tekong dan awak-awak terbalik selepas dibadai ribut kira-kira 10 batu nautika dari jeti tersebut malam semalam. - Foto Bernama
A
A

TUMPAT - Tiga lagi mangsa insiden bot karam di perairan Kemasin yang masih belum ditemui dipercayai kemungkinan sudah dihanyutkan arus.

Mereka adalah pemancing dari Pasir Mas, Harun Daud, 57; anak saudara tekong bot, Arman Ismail, 43, dan awak-awak, Che Wadi Bakar, 40-an.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Penguasa Bomba Mohd Farid Ismail berkata, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat tidak dapat mengesan ketiga-tiga mangsa menerusi dua kali selaman di kawasan sekitar kejadian dan dalam bot yang karam.

"Selaman pertama selama sejam dilakukan PPDA di dalam bot di lokasi insiden itu, manakala selaman kedua di muara Kemasin selepas bot berkenaan ditunda oleh nelayan lain ke kawasan itu semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Korban kelima tragedi bot karam ditemukan

Bot karam: Kelantan beri bantuan segera kepada mangsa

"Setakat ini, hanya mayat mangsa kelima, Ahmad Syafiq Che Alim, 30, yang dijumpai terperangkap di dalam bot berkenaan.

"Tiga lagi mangsa tidak ditemui dipercayai berkemungkinan sudah dihanyutkan arus," katanya.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) di perairan Kemasin dilakukan secara menyeluruh hari ini termasuk dipertingkatkan di kawasan pesisir pantai bagi mengesan tiga lagi mangsa tersebut.

“Operasi sejauh 324 batu nautika di tengah laut oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) diteruskan.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat pula melakukan operasi sejauh tiga batu nautika dari pesisir pantai sepanjang Pantai Irama, Bachok sehingga ke Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu,” katanya.

Beliau berkata, pasukan operasi SAR hari ini berdepan dengan keadaan cuaca mendung dan berangin bertiup ke arah barat namun arus di tengah laut dilaporkan tenang.

“Ketika ini 10 bot Jabatan Bomba dan Penyelamat digunakan bersama 10 anggota yang menyertai operasi di kawasan tiga batu nautika dari pesisir pantai.

“Pihak kami bersedia sekiranya pasukan PPDA diperlukan untuk melakukan selaman ketiga di dalam bot jika ada keperluan,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, bot yang dinaiki 20 pemancing dan penyandat sotong dari Pasir Mas itu telah dipukul ribut di perairan Kemasin sejauh 10 batu nautika dari Jeti Pangkalan Kemasin di sini malam kelmarin.

Sehingga semalam, 17 mangsa telah ditemui di mana lima daripadanya meninggal dunia.

=


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf