X

Kindly register in order to view this article
!

Peniaga makanan, mangsa tempahan palsu, tipu wang

Tular beberapa laporan polis dibuat peniaga makanan yang menjadi mangsa penipuan.
A
A

SABAK BERNAM - Seorang peniaga makanan kerugian wang simpanan berjumlah RM940 apabila diperdaya seorang lelaki yang menyamar menggunakan nama sebuah hotel di Sungai Besar di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd Alias berkata, mangsa berusia 44 tahun itu menerima panggilan daripada lelaki terbabit yang menempah sebanyak 28 bungkus makanan termasuk minuman dengan jumlah yang sepatutnya dibayar berjumlah RM310.

Menurutnya, mangsa percaya suspek dari hotel terbabit selepas berjanji akan membuat pembayaran di hotel itu.

"Suspek meminta mangsa memasukkan wang sebanyak RM170 ke dalam akaun terlebih dahulu dan berjanji memulangkan semula ketika penghantaran makanan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Agus Salim berkata, mangsa yang terpedaya dengan janji manis suspek telah membuat pemindahan wang di dua akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM740.

"Mangsa juga terpedaya apabila suspek memintanya memasukkan wang tambah nilai sebanyak RM100 sebanyak dua kali di nombor telefon bimbit suspek," katanya.

Bagaimanapun, katanya, mangsa hanya mengesyaki dia ditipu semasa menghantar makanan di hotel dan dimaklumkan tiada nama pekerja yang disebutkan.

Justeru katanya, orang awam dinasihatkan lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan memasukkan wang ke dalam akaun tidak dikenali.

Sebelum ini tular di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp berhubung penipuan dilakukan suspek terhadap beberapa peniaga makanan sekitar Sabak Bernam.

Peniaga terbabit dipercayai melalukan modus operandi dengan menempah makanan dalam kuantiti banyak menggunakan nama hotel di samping meminta peniaga memasukkan sejumlah wang tertentu ke dalam akaun bank.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!